Lantikan Muhyiddin oleh Agong sah ikut Perlembagaan

Selepas editorial akhbar British, The Guardian mendakwa Yang di-Pertuan Agong merancang “rampasan kuasa diraja” untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan, kita boleh jujur dengan pernyataan pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ke-8 berlunaskan undang-undang.

Tidak kiralah apa kecenderungan politik kita, kebiasaannya kecenderungan politik menyebabkan kita bersetuju untuk tidak bersetuju (agree to disagree), jika kita mengamalkan politik matang.

Tetapi, dalam hal pelantikan perdana menteri ke-8. kita boleh bersetuju dengan 2 alasan di bawah.

Pertama, pelantikan perdana menteri adalah budi bicara Agong seperti diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Ia tidak tertakluk kepada nasihat Kabinet yang lazimnya diberikan perdana menteri.

Kedua, Agong diberi mandat oleh Perkara 43(2)(a) Perlembagaan untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Parlimen sebagai perdana menteri.

Ia bukan soal angka, iaitu siapa yang mempunyai kepercayaan dan sokongan 112 ahli Dewan Rakyat. Sesiapa dalam kalangan ahli Dewan Rakyat boleh saja meyakinkan Agong yang beliau mempunyai angka tersebut.

Tetapi, tidak ada siapa yang boleh memaksa Agong menerima seseorang itu mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan.

Hemat dan pertimbangannya adalah pada Agong. Inilah yang dinamakan budi bicara, seperti budi bicara seorang perdana menteri menentukan siapa menteri yang perlu dilantik oleh Agong bagi membentuk Jemaah Menteri atau Kabinet.

Jadi, setelah bersemuka dengan semua ahli Dewan Rakyat (kecuali yang berada di luar negara) dan mendapat representasi ketua parti dalam Dewan Rakyat, sekiranya pada hemat Agong, Muhyiddin ialah orangnya yang mungkin mendapat kepercayaan dan sokongan ahli Dewan, Agong layak melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Ringkasnya, pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri ke-8 berlunaskan undang-undang.

Sekiranya ada ahli Dewan Rakyat yang tidak menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri, beliau boleh mengusulkan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin apabila Dewan Rakyat bersidang.

Dewan Rakyat sudahpun dijadualkan bersidang mulai 18 Mei nanti.

Hafiz Hassan ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.