Macam zaman sebelum Mei 2018, kata Marina di balai polis

Marina Mahathir akan beri kerjasama penuh kepada siasatan polis.

KUALA LUMPUR: Aktivis masyarakat, Marina Mahathir, yang juga anak kepada bekas perdana menteri ke-7, berkata dia dipanggil polis untuk diambil keterangan berhubung tunjuk perasaan pada Ahad hari ini mengingatkannya kepada “zaman dulu”.

“Nostalgia, macam zaman dulu sebelum Mei 2018,” katanya sebelum memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, merujuk kepada ketika sebelum Pakatan Harapan menang pilihan raya umum ke-14.

Marina bagaimanapun tidak menghuraikan komennya itu, dan memaklumkan akan beri kerjasama penuh kepada siasatan polis.

“Mereka minta datang, saya datang,” katanya.

Marina antara mereka daripada 2 kumpulan yang masing-masing dipanggil dalam siasatan polis terhadap 2 tunjuk perasaan yang menyusuli pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ke-8.

Marina bersama 12 yang lain dikatakan menyertai tunjuk perasaan yang diadakan di pusat beli-belah Sogo di pusat bandar Kuala Lumpur.

Sekumpulan 5 orang lagi dikatakan menyertai tunjuk perasaan di Dataran Merdeka.

Siasatan dibuat mengikut Akta Perhimpunan Aman.