Maszlee hormat Dr M dan Muhyiddin, seru ahli PPBM bersatu

Maszlee Malik berkata, beliau tetap bersama PPBM dan terus menghormati Pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad dan Presidennya, Muhyiddin Yassin.

PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM, Maszlee Malik menyeru ahli parti itu terus bersatu di sebalik kemuncak kumpulan yang menyokong Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin dalam parti.

Beliau turut menasihatkan pemimpin dan ahli parti tidak mengeruhkan lagi keadaan susulan penubuhan kerajaan persekutuan dan beberapa kerajaan negeri yang baru.

Katanya, beliau tetap bersama parti dan terus menghormati Pengerusi PPBM, Mahathir dan Presidennya, Muhyiddin.

“Sebarang keputusan besar hendaklah diputuskan MPT sebagai badan pimpinan tertinggi.

“Saya menyeru ahli-ahli PPBM di Simpang Renggam dan seluruh negara bertenang dan tidak mengeruhkan lagi keadaan. Kita menantikan keputusan MPT untuk menyelesaikan kemelut yang wujud sekarang.

“Kita wajib tetap terus mencurahkan bakti kepada masyarakat seperti yang telah diamanahkan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri ke-8 susulan peletakan jawatan Mahathir pada 24 Feb lalu sebagai perdana menteri yang kemudiannya menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Terdahulu, PH yang diwakili PKR, DAP dan Amanah menyokong Mahathir untuk dicalonkan semula sebagai perdana menteri, manakala Barisan Nasional, PAS, Gabungan Parti Sarawak serta beberapa ahli Parlimen PPBM menyokong Muhyiddin memimpin negara.