NGO Indonesia mungkin minta bantuan Jokowi berkait kehilangan Joshua, Ruth

Penyelaras Komisi Untuk Orang Hilang dan Korban Tindak Kekerasan, Yati Andriyani.

KUALA LUMPUR: Sebuah NGO di Indonesia mempertimbangkan untuk membawa kes kehilangan pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo.

NGO yang dikenali sebagai Komisi Untuk Orang Hilang dan Korban Tindak Kekerasan (Kontras) berkata, tindakan itu akan menyusul jika tiada perkembangan daripada hasil inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang menyiasat kehilangan pasangan terbabit.

“Kami akan tunggu sehingga siasatan berakhir kerana kami menghormati pihak berkuasa Malaysia.

“Tetapi selepas ini jika tidak ada perkembangan, kami akan mempertimbangkan untuk membawa isu ini kepada presiden (Jokowi),” kata Penyelaras Kontras, Yati Andriyani selepas inkuiri awam Suhakam hari ini.

Yati berkata, NGO itu akan melaporkan kehilangan pasangan terbabit kepada Kedutaan Indonesia di Malaysia.

“Kami sudah pergi ke Kementerian Luar kerana mereka adalah wakil kita yang mempunyai diplomasi dengan Malaysia.

“Kami mungkin melakukan ini (lapor kepada kerajaan Indonesia) selepas siasatan ini.”

Joshua dan Ruth, warganegara Indonesia, berkahwin pada Oktober 2004 dan kali terakhir mereka dilihat 30 Nov 2016.

Inkuiri awam itu yang dipengerusikan Pesuruhjaya Suhakam, Hishamudin Yunus dan dibantu Pesuruhjaya Jerald Joseph serta Madeline Berma, dijangka berlangsung selama 14 hari sehingga 29 April nanti.

Sebelum ini, Suhakam turut mengadakan inkuiri awam berhubung kehilangan pastor Raymond Koh dan aktivis dari Perlis, Amri Che Mat yang merumuskan 2 lelaki itu ialah mangsa kehilangan paksa.