Peguam cuti, kes rasuah MP Baling bermula April

Ahli Parlimen Baling, Azeez Abdul Rahim.

KUALA LUMPUR: Perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram bernilai RM145 juta melibatkan Ahli Parlimen Baling, Azeez Abdul Rahim dan abangnya, Abdul Latiff, akan bermula pada April kerana peguam Azeez akan bercuti selama sebulan.

Hisyam Teh Poh Teik memberitahu Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi bahawa beliau akan bercuti kerana alasan perubatan.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim tidak membantah permohonan itu.

Azura kemudian menetapkan perbicaraan akan diadakan dari 16 hingga 22 April.

Ia pada awalnya dijadualkan pada 16 hingga 18 Mac dan 1 hingga 3 April.

Azeez, 52, yang merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno, menghadapi 3 pertuduhan menerima rasuah bernilai RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah. Beliau juga menghadapi 9 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta.

Abdul Latiff, 61, berdepan 2 tuduhan bersubahat dengan adiknya dalam melakukan kesalahan itu.