Penghuni rumah amal OKU hidu bau sampah dibuang peniaga haram Selayang

Kelihatan sampah-sarap dibuang di tepi pagar Rumah Amal Cheshire Selangor.

SELAYANG: Peniaga haram dan sampah yang dibuang ke mana sahaja mereka suka menyebabkan bau busuk di kawasan yang mana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) tidak boleh mendakwa ia di bawah bidang kuasa mereka.

Sedangkan mereka yang paling menderita dari segi pemandangan dan terpaksa menghidu bau busuk adalah penghuni yang tinggal di rumah amal di kawasan itu.

“Saya tidak pernah melihat begitu banyak sampah dalam hidup saya sebelum ini,” kata Presiden Rumah Amal Cheshire Selangor, Khatijah Sulaiman kepada FMT.

Ditubuhkan pada 1963 bagi mewujudkan peluang kepada golongan kurang upaya fizikal dan mental, rumah itu menyediakan penjagaan, fisioterapi, terapi pekerjaan, kaunseling dan bimbingan kerja untuk 53 penghuninya.

Fasiliti yang dibina di tanah seluas 4 ekar itu terletak hanya beberapa meter dari pasar pagi Selayang, di mana pendatang asing tanpa izin dari Bangladesh dan Myanmar mengawal perniagaan di situ sejak sekian lama.

Aktiviti mereka kini mula berkembang ke jalanan, dan mereka secara terbuka menjual barangan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan dan ternakan hanya beberapa inci dari lalu lintas, terutama di jalan yang menuju ke rumah amal itu.

Terdapat timbunan sampah-sarap di tepi jalan yang bersempadan dengan rumah amal tersebut dan beberapa sampah boleh dilihat masuk ke dalam pagarnya.

“Ia menjadi semakin teruk.

“Saya percaya mereka semua adalah peniaga haram. Mengapa mereka tidak dihalang? Saya rasa ada sindiket yang melindungi mereka,” kata Khatijah.

Peniaga di sepanjang jalan sempit yang menuju ke rumah amal itu.

Ahli MPS, Deveandran Selvaraju memberitahu FMT, Disember lalu kakitangannya memindahkan 2 tong sampah di depan rumah amal tersebut selepas menerima aduan mengenai bau busuk.

Peniaga-peniaga itu kemudiannya mula membuang sampah di jalanan dan sepanjang jalan menuju ke rumah amal tersebut, katanya.

Beliau berkata pegawai penguatkuasa MPS menjalankan beberapa serbuan namun tidak dapat melakukan lebih banyak selain merampas barangan peniaga.

Beliau menambah penguatkuasaan bermasalah kerana peniaga biasanya akan beroperasi di zon yang tidak diwartakan yang terletak antara bidang kuasa DBKL dan MPS.

“Mereka berpindah ke sebelah DBKL apabila kami melakukan serbuan. Jadi, menurut undang-undang, kami tidak boleh mengambil tindakan.

“Kami baru sahaja melakukan operasi baru-baru ini dan kami merampas semua barangan mereka. Tetapi apabila kami kembali 2 hari kemudian, mereka ada situ semula.”

Beliau berkata jabatan imigresen perlu meneliti perkara itu.

Deveandran juga berkata MPS merancang untuk memasang kamera CCTV di kawasan itu tetapi mendapati ia tidak dapat berbuat demikian kerana kurang jelas berkaitan bidang kuasa.

Sementara itu, penghuni rumah amal Cheshire terus menderita.

Khatijah berkata penderma yang berpotensi berhenti daripada melawat rumah amal itu kerana jalan masuknya sering terhalang oleh lalu lintas yang sesak serta trak dan kenderaan lain yang diparkir di situ.

Beliau juga bercakap mengenai ancaman keganasan dan pecah masuk oleh pendatang asing dan mengadu mengenai pembinaan rumah penyembelihan ayam di sebuah bangunan kira-kira 150m dari rumah amal tersebut.

NGO, peniaga dan penduduk setempat membangkirkan mengenai risiko kebersihan dalam bantahan terhadap rumah penyembelihan itu, yang kelihatan dapat memproses hingga 120,000 ayam sehari.

“Bayangkan itu.

“Pihak berkuasa mengatakan mereka mahu mewujudkan rumah penyembelih berpusat untuk menyembelih ayam, tetapi bagaimana dengan sisa dan bau?” soal Khatijah.