Gabungan masih longgar, sekretariat akan diwujudkan, kata Annuar Musa

Annuar Musa menjangkakan pertemuan setiausaha agung parti komponen, termasuk PPBM akan diadakan setiap minggu bagi mengelakkan kesilapan kerajaan PH berulang.

KUALA LUMPUR: Suatu sekretariat melibatkan setiausaha agung parti-parti dalam Perikatan Nasional akan ditubuhkan dalam masa terdekat, kata Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa.

Gabungan itu, gandingan Umno, PPBM, PAS dan kumpulan bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, perlu diperkukuhkan, katanya.

“Saya terima arahan daripada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi…antaranya setiausaha agung dikehendaki mewujudkan satu sekretariat dan menjalankan kerja-kerja eksekutif.

“Kita masih gabungan yang longgar. Kita tidak ada manifesto, tidak ada lambang, tidak ada nama yang didaftarkan secara sah. Kita ‘beranak’ dahulu barulah fikir,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Umno hari ini.

Katanya, beliau menjangkakan pertemuan antara setiausaha agung parti komponen, termasuk PPBM diadakan setiap minggu supaya tidak mengulangi kesilapan kerajaan Pakatan Harapan.

“Kita harap kita dapat belajar daripada kejatuhan PH, ia berlaku kerana runtuhnya kerjasama di antara mereka. Barisan Nasional dan Muafakat Nasional terus berazam dan memperkasa serta memberikan perkhidmatan terbaik.

“PN pula masih di peringkat awal, kita perlu wujudkan platform. Masih awal juga untuk kita laksanakan urusan logistik, di manakah pusat pentadbiran kita, siapakah yang akan kendalikan PN?”

Mengenai Dewan Rakyat yang akan bersidang pada 18 Mei dan bukanya 9 Mac ini, Annuar berkata, keputusan itu dibuat untuk memberi laluan kepada kerajaan dan pembangkang bersiap sedia menghadapi aturan mesyuarat.

“Adalah mustahil bila kerajaan PN diwujudkan hendak terus bersidang pada Mac dan April. Kenapa saya katakan demikian? Kerajaan baru sudah tentunya mahu kemukakan notis untuk membuat pelantikan speaker yang baru.

“Saya menjangkakan satu daripada agenda yang tidak ada dalam notis sekarang adalah pemilihan speaker Dewan Rakyat. Pelantikan speaker Dewan Rakyat ada proses tertentu, parti komponen kena berunding hendak calon siapa.

“Bukan semua orang boleh hantar calon. Kedua, dulu saya pembangkang, saya hantar soalan untuk dijawab kerajaan, sekarang ini bila pentadbiran bertukar, pembangkang yang ada pula perlu hantar soalan kepada kerajaan,” kata ahli Parlimen Ketereh itu.