Polis rampas dadah RM5.2 juta, 4 sekeluarga antara ditahan

Polis merampas 104kg ganja, 60kg syabu, 46kg heroin dan ketamin 7kg, yang boleh digunakan oleh hampir sejuta penagih dadah jika terlepas ke pasaran. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang didalangi 4 ahli keluarga selepas menahan 11 individu dan merampas pelbagai jenis dadah seberat 217kg bernilai RM5.2 juta dalam serbuan serentak di 4 negeri pada Ahad.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Ramli Din berkata pihaknya menjalankan Ops Falcon bermula pukul 12.30 tengah hari dan menyerbu 8 lokasi berasingan di sekitar Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor sebelum menahan pasangan suami isteri, anak lelaki mereka dan adik lelaki kepada lelaki itu serta seorang lelaki warga Thailand berusia 21 hingga 53 tahun.

“Selain mereka, polis turut menahan 6 lagi lelaki dalam serbuan serentak selama 7 jam itu membabitkan rumah, tepi jalan, premis perniagaan dan stor di 4 negeri tersebut hasil risikan serta intipan sejak sebulan lepas.

“Polis merampas pelbagai jenis dadah iaitu 104kg ganja, 60kg syabu, 46kg heroin nombor 4 dan ketamin sebanyak 7kg, yang boleh digunakan oleh hampir sejuta penagih dadah jika terlepas ke pasaran. Dadah yang dirampas ini tidak ditanam dan diproses dalam negara sebaliknya dibawa masuk dari negara jiran sebelum dibungkus semula dan diedar untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya pada sidang media semalam.

Beliau berkata heroin yang dirampas dalam serbuan itu merupakan heroin nombor 4 iaitu ketulenannya sangat tinggi malah ia jarang dirampas dalam operasi sebelum ini dan kebiasaannya heroin nombor 3 iaitu ketulenannya rendah digunakan sindiket pengedaran dadah di negara ini.

Ramli berkata susulan pembongkaran sindiket pengedaran dadah itu, polis turut menyita harta milik ahli sindiket berkenaan bernilai RM437,718 antaranya 7 kenderaan mewah seperti Toyota Vellfire, BMW, Volkswagen dan Porsche serta jam tangan berjenama dan wang tunai RM51,520.

“Kami percaya sindiket itu lumpuh sepenuhnya kerana polis menahan dalang utamanya iaitu pasangan suami isteri bersama ahli keluarga mereka dan semua mereka yang ditahan dalam operasi tersebut mempunyai peranan masing-masing antaranya menjalankan tugas sebagai pengedar dadah, pengawal stor serta pemandu,” katanya.

Menurutnya dalang utama sindiket itu mempunyai 16 rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah manakala 5 lagi turut mempunyai rekod lampau termasuk seorang turut dikendaki polis kerana kes bunuh.

“Lima daripada mereka positif dadah dan siasatan lanjut mendapati sindiket itu terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak 8 hingga 9 bulan lepas. Semua mereka kini direman sehingga 8 Mac ini bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ramli berkata sejak 1 Jan hingga semalam, JSJN menahan seramai 33,345 orang termasuk 1,618 warga asing kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk membekal, memiliki serta positif menggunakan dadah dan daripada jumlah itu 470 individu ditahan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).

Beliau berkata sepanjang tempoh sama, polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM216 juta dan berjaya membongkar 5 makmal memproses dadah.

“Nampaknya trend penyalahgunaan dadah semakin serius dan polis akan terus menggempur sindiket-sindiket tersebut di seluruh negara malah ada dalam kalangan mereka juga cukup berbahaya kerana memiliki senjata api. Setakat ini kita rampas 12 pucuk senjata api dan 209 butir peluru,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata polis turut menyita sebuah kapal pelayaran mewah bernilai RM3 juta milik sindiket pengedaran dadah susulan pembongkaran sindiket pengedaran 12 tan kokain bercampur arang batu di Pulau Pinang, September tahun lepas, menjadikan jumlah keseluruhan harta serta wang yang disita daripada sindiket tersebut RM375.7 juta.

Katanya kapal tersebut disita pada 28 Feb lepas di Sabah dan polis masih giat mengesan dalang utama sindiket tersebut yang dipercayai bersembunyi di negara jiran.

Sebelum ini, menerusi Ops Eagle Diamond, polis menahan 8 orang terdiri daripada 2 lelaki warga tempatan, 5 lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga China yang berusia antara 33 hingga 51 tahun.