Putera Saudi ‘kebal’ tak tandatangani keterangan SPRM, kata saksi

Bekas pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta SPRM, Fikri Ab Rahim hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini untuk memberi keterangan dalam perbicaraan Najib Razak membabitkan dana SRC International. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, Putera Arab Saudi, Putera Saud Abdul Aziz Malik Abdul Aziz tidak menandatangani sendiri keterangannya yang dirakamkan agensi anti-rasuah itu di Riyadh, Arab Saudi kerana beliau “kebal”.

Keterangan itu didakwa berhubung 4 surat berkaitan derma RM2.6 bilion yang diberikan keluarga diraja Saudi kepada bekas perdana menteri, Najib Razak.

Bekas pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM, Fikri Ab Rahim berkata, pihaknya juga tidak dapat menemu ramah Putera Saud Abdul Aziz secara terus, sebaliknya melalui seorang peguam yang dilantik putera itu, Muhammad Abdullah Al Koman.

“Al Koman turut menandatangani keterangan Putera Saud Abdul Aziz bagi pihak beliau,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh peguam yang mewakili Najib, Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang memasuki hari ke-87 hari ini.

Menceritakan semula kejadian pada 29 Nov 2015, Fikri berkata, sejurus tiba di istana milik keluarga diraja Saudi itu, mereka diperkenalkan kepada 3 putera Arab, iaitu Putera Faisal, Putera Turki dan Putera Saud Abdul Aziz.

“Sebelum keterangan mereka diambil, mereka telah bersetuju untuk mengeluarkan pasport mereka, tetapi kami tidak dibenarkan membuat salinan fotokopi kerana Putera Turki memaklumkan mereka mempunyai kekebalan.

“Pihak SPRM juga tidak boleh sewenang-wenangnya berada dekat dengan putera-putera Raja Arab Saudi kerana protokol diraja mereka,” kata saksi pembelaan ke-12 itu.

Semasa pemeriksaan semula oleh Shafee, Fikri berkata, sewaktu di Riyadh, pihaknya turut mengambil keterangan Eric Tan Kim Loong yang didakwa sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low bagi membantu siasatan kes itu.

“Tan kelihatan sudah biasa dengan keadaan istana itu dan boleh bercakap secara terus dengan ketiga-tiga putera Saudi itu. Berlainan dengan kami (pihak SPRM) yang agak berjaga-jaga dan risau sewaktu berada di dalam istana.

“Peguam Selva Mookiah bertindak bagi pihak Tan. Kami mempunyai kesepakatan di mana anak guamnya tidak akan ditangkap pihak berkuasa sekiranya beliau (Tan) memberikan kerjasama kepada pihak SPRM.”

Fikri berkata, kesepakatan sama turut diberikan kepada 2 lagi individu yang mempunyai kaitan dengan SRC International, iaitu bekas ketua pegawai eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil dan bekas pengarahnya, Suboh Md Yassin.

Najib, 67, kini membela diri terhadap 9 pertuduhan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International, iaitu 3 pertuduhan pecah amanah, 3 pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan berhubung dana SRC.

Perbicaraan bersambung di depan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali esok.