Terlalu banyak kerja rumah, tak cukup rehat antara keluhan kanak-kanak kepada Suhakam

Kanak-kanak berkata mereka dimalukan di dalam kelas jika tidak menyiapkan kerja sekolah.

PETALING JAYA: Kerja rumah terlalu banyak, perlukan masa berehat dan beg sekolah terlalu berat merupakan antara aduan yang dikemukakan kanak-kanak semasa sesi rundingan yang dianjurkan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak (OCC) Suhakam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bulan lalu.

Seramai 35 kanak-kanak berumur 8 hingga 17 tahun yang menghadiri rundingan itu pada 21 dan 22 Feb juga berkata mereka bimbang mengenai jumlah bunuh diri dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah disebabkan tekanan oleh pelbagai isu.

Ini termasuk harapan ibu bapa yang terlalu tinggi untuk mendapat markah yang baik, buli, guru mencari kesalahan mereka dan kaunseling yang tidak efektif oleh kaunselor yang tidak layak.

Satu kenyataan yang dikeluarkan OCC hari ini berkata, kanak-kanak membangkitkan kebimbangan mereka mengenai hak untuk berehat dan aktiviti masa lapang.

“Mereka berpendapat jadual persekolahan terlalu padat.

“Terlalu banyak kerja sekolah dan sekiranya ia tidak disiapkan, mereka perlu berdiri di luar kelas atau di atas kerusi atau dimalukan di dalam kelas,” kata kenyataan itu.

Ia juga berkata kanak-kanak memerlukan masa berehat di luar waktu rehat, sambil menambah kanak-kanak mencadangkan tidur sekejap selama 20 minit setiap hari semasa waktu persekolahan.

Mengenai isu buli, ia berkata kanak-kanak meminta supaya tindakan segera diambil kerana ia memberi kesan kepada pelajaran.

“Jika pembuli adalah kanak-kanak, mereka perlu diberikan kaunseling dan bantuan sewajarnya untuk mereka menyedari tindakan itu salah.

“Jika pembuli adalah guru, mereka perlu dibuang dari menjadi tenaga pengajar.”

Kanak-kanak juga membangkitkan sekolah yang tidak mesra orang kelainan upaya (OKU) kerana tidak menyediakan lif dan laluan kerusi roda untuk pelajar OKU, sambil menambah mereka yang berkeperluan khas ingin menggunakan e-book dan bukannya buku teks konvensional.

“Beg sekolah terlalu berat dan memberi kesan buruk kepada kesihatan kanak-kanak. Almari buku di sekolah masih belum dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Isu privasi dan keselamatan juga dibangkitkan, di mana kanak-kanak berkata orang dewasa tidak boleh berkongsi maklumat peribadi atau gambar mereka tanpa kebenaran.

Bagi hak kepada pendidikan, kanak-kanak berkata tidak ada diskriminasi terhadap mereka untuk hadir ke sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Sepuluh daripada kanak-kanak yang menghadiri sesi rundingan itu adalah dari Majlis Perwakilan Kanak-kanak, 3 berkeperluan khas, 1 Orang Asal dan 1 anak pelarian.