Timbalan speaker tiada pilihan, setuju Dewan Rakyat bersidang 18 Mei

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon.

PETALING JAYA: Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon akui beliau tiada pilihan lain selain bersetuju dengan keputusan Putrajaya menetapkan tarikh persidangan Dewan Rakyat bermula pada 18 Mei dan bukannya 9 Mac.

Rashid berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu memperlengkapkan anggota Kabinetnya bagi memudahkan urusan Dewan Rakyat berjalan dengan lancar pada 18 Mei depan.

“Saya tidak ada pilihan, memang kena setuju kerana itu memang arahan. Peraturan memang begitu, tarikh itu dimaklumkan dari eksekutif. Menteri yang dilantik pada waktu itu memang wajib ada sebab kena jawab,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat Mohd Ariff Md Yusof berkata persidangan Dewan Rakyat akan bermula pada 18 Mei.

Ia menamatkan spekulasi mesyuarat Parlimen akan ditangguhkan sehingga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dapat memperkuat kedudukannya dengan memastikan majoriti yang selesa di Dewan Rakyat.

Ariff berkata beliau menerima surat makluman berhubung tarikh baru itu malam tadi.

Ketika ditanya, apakah akan ada pertukaran speaker pada sesi persidangan depan, Rashid berkata beliau tidak mempunyai kuasa menentukan perkara berkenaan memandangkan ia ditentukan perdana menteri dan speaker sendiri.

“Itu bukan perkara yang sesuai untuk saya jawab. Saya tidak berani komen, ia antara perbincangan perdana menteri dengan speaker,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming masih tidak memberikan sebarang reaksi ketika dihubungi FMT.

Persidangan Dewan Rakyat lepas ditangguhkan pada 5 Dis 2019, sementara sidang kali ini dijadualkan bermula pada 9 Mac ini.