Wisma Felcra di KL ditutup 3 hari untuk pembersihan akibat Covid-19

Wisma Felcra di Setapak Jaya akan mula beroperasi seperti biasa pada 9 Mac ini.

KUALA LUMPUR: Wisma Felcra Berhad di Setapak Jaya ditutup serta-merta bermula hari ini hingga 6 Mac ini selepas seorang daripada ahli lembaga pengarahnya disahkan positif Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazrul Izam Mansor berkata semua aktiviti dan operasi di peringkat ibu pejabat dihentikan bagi membolehkan kerja pembersihan dan sanitasi dibuat secara menyeluruh.

“Semua kakitangan di ibu pejabat diarahkan bekerja dari rumah dan dinasihatkan tidak ke luar daerah supaya mudah dihubungi. Ibu pejabat Felcra akan mula beroperasi seperti biasa pada 9 Mac (Isnin).

“Dimaklumkan juga semua operasi di peringkat wilayah dan kawasan diteruskan seperti biasa. Ibu pejabat akan sentiasa berkomunikasi dengan pihak wilayah dan kawasan supaya operasi ladang dan kilang tidak terjejas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nazrul Izam berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kakitangan yang mempunyai kontak rapat dengan individu berkenaan dan semunya sedang menjalani saringan kesihatan di hospital berdekatan.

“Sehingga kini, mereka masih dalam kuarantin sendiri sehingga pihak hospital memberi keputusan ujian saringan itu.

“Selain itu, langkah pencegahan semasa termasuk melakukan ujian saringan suhu di lobi premis syarikat dan menyediakan cecair pembasmi kuman kepada staf dan pelawat,” katanya.

Ahli lembaga pengarah Felcra yang disahkan positif Covid-19 itu sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh dan beliau ialah kontak rapat kepada ahli lembaga pengarah UDA Holdings yang disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

Ahli lembaga pengarah Felcra itu kali terakhir dilihat berada dalam Wisma Felcra pada 25 Feb lalu.

Pihaknya berharap semua kakitangan sentiasa bersabar dan menjaga kebersihan masing-masing serta mendapatkan rawatan segera jika terdapat sebarang simptom berkaitan jangkitan pernafasan seperti demam, batuk dan/atau kesukaran bernafas.

Warga Felcra juga diminta mengehadkan perjalanan ke luar negara, terutama ke negara terjejas seperti disahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).