2 pembekal telur beroperasi dalam keadaan kotor, kata kumpulan hak haiwan
Equitas berkata, rakaman intipan tahun lalu mendedahkan najis mencemari tali sawat telur, peralatan, haiwan dan bangkai ayam mereput di lorong bersebelahan ayam bertelur di ladang 2 pembekal telur itu.
PETALING JAYA: Sebuah kumpulan hak pengguna dan haiwan mendakwa 2 pembekal telur kepada satu peruncit utama Pan-Asia yang beroperasi dalam keadaan tidak bersih dan kejam, hanya setahun selepas sebuah lagi ladang telur dikecam atas amalan sama.
Equitas berkata, berdasarkan rakaman intipan tahun lalu, kedua-dua syarikat itu menunjukkan keadaan “kotor, risiko keselamatan makanan dan kekejaman haiwan” di tapak berkenaan.
Ini termasuk najis mencemari tali sawat telur, peralatan dan haiwan, yang membawa risiko keselamatan makanan serius. Bangkai ayam juga kelihatan mereput di lorong bersebelahan ayam bertelur.
Jurucakap Equitas, Emily Hogan turut mendakwa bahawa ibu ayam “seumur hidup bersesak dalam sangkar yang terlalu kecil sehingga mereka sukar berpusing”.
“Sepanjang masa ketika seluruh wilayah melawan wabak disebabkan kegagalan dalam keselamatan makanan, peruncit ini terus mendahulukan keuntungan berbanding pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hogan ketika dihubungi FMT berkata, mereka tahu peruncit itu menjual telur daripada ayam sangkar.
“Ini menyebabkan kami menyiasat ladang yang membekalkan telur kepada peruncit itu.”
FMT sudah menghubungi 2 pembekal telur dan sedang menunggu respons mereka.
Ogos tahun lalu, Yayasan Lever yang berpangkalan di Hong Kong – organisasi melindungi kepentingan haiwan, mendakwa sebuah ladang di Johor yang membekal telur kepada sebuah rantaian pasar raya United Kingdom beroperasi dalam keadaan tidak baik.
Yayasan itu mendakwa ia menemui bangkai mereput dalam sangkar yang sesak dengan ayam lain dan diselaputi najis.
Katanya, keadaan itu membawa risiko keselamatan makanan serius dan mengkritik pasar raya itu mendapatkan bekalan telur daripada pembekal yang menggunakan kaedah “kejam” menternak ayam.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Ia turut memuat naik beberapa gambar dan video untuk membuktikan dakwaannya dan mendedahkan koordinat satelit GPS ladang telur itu.