5 kes baru Covid-19 kontak rapat pesakit ke-26

Malaysia menyekat sementara kemasukan pelancong tanpa mengira kerakyatan dari Lombardy, Veneto dan Emilia-Romagna di Itali, Hokkaido di Japan serta Tehran, Qom dan Gilan di Iran, kecuali selepas 14 hari lawatan mereka.

PETALING JAYA: Malaysia merekodkan 5 kes baru Covid-19 hari ini, menjadikan keseluruhan 55 kes setakat ini.

Daripada jumlah itu, 22 pesakit sudah sembuh sepenuhnya, manakala 5 kes terbaru itu ialah kontak rapat kes ke-26.

Pesakit ke-51 hingga 54 menemui pesakit ke-26 di sebuah mesyuarat kerajaan pada 21 Feb lalu, manakala pesakit ke-55 ialah pemandu pesakit ke-26.

Virus itu menjangkiti 94,900 orang di seluruh dunia yang menyebabkan sekurang-kurangnya 3,283 pesakit meninggal dunia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, siasatan dan pengesanan kontak masih diteruskan.

Beliau menasihatkan rakyat Malaysia tidak mengunjungi Lombardy, Veneto dan Emilia-Romagna di Itali, Hokkaido di Japan serta Tehran, Qom dan Gilan di Iran.

Katanya, Malaysia turut menyekat sementara kemasukan pelancong tanpa mengira kerakyatan dari kawasan terbabit kecuali selepas 14 hari lawatan mereka.

Beliau menasihatkan rakyat Malaysia di 3 negara itu mengambil langkah berjaga-jaga, meningkatkan penjagaan kesihatan diri dan mematuhi sebarang arahan pihak berkuasa tempatan.

Semalam, 14 kes baru dicatatkan, kes paling banyak dalam sehari sejak penularan wabak itu pada awal tahun ini.

Kementerian Kesihatan berkata, 14 pesakit itu ialah kontak rapat pesakit ke-26.

Selasa lalu, 7 kes baru dilaporkan yang juga kontak kepada pesakit ke-26.