BN Melaka tarik balik kerjasama dengan 2 Adun PPBM

Pengerusi BN Melaka, Ab Rauf Yusof berkata, kerjasama BN dengan 2 Adun DAP dan PKR dibuat tanpa menjejaskan kerjasama dan semangat gabungan politik di peringkat nasional. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Ab Rauf Yusof memutuskan untuk membatalkan kerjasama dengan 2 Adun PPBM, iaitu Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Noor Effandi Ahmad (Teluk Mas).

Ab Rauf berkata, keputusan itu dibuat susulan tindakan kedua-dua Adun berkenaan mengetepikan peranan 13 Adun BN dalam usaha membentuk kerajaan negeri yang baru.

“Selaku pengerusi BN Melaka, saya mengambil keputusan sebulat suara bersama 13 Adun kita dan 2 lagi Adun yang bersama dengan kita, untuk menarik kerjasama dengan Rafiq dan Effandi.

“Saya mengesahkan, 13 Adun BN bersama dengan Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis dan Adun Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee membentuk satu gabungan baru,” katanya dalam sidang media di MITC Melaka, hari ini.

Ab Rauf berkata, kerjasama BN dengan 2 Adun berkenaan dibuat tanpa menjejaskan kerjasama dan semangat gabungan politik di peringkat nasional.

Perkembangan ini menyaksikan gabungan baru itu memiliki majoriti 15 kerusi untuk menubuhkan kerajaan negeri membabitkan 13 kerusi BN dan masing-masing 1 dari PKR dan DAP yang menyokong mereka.

Pakatan Harapan (PH) pula mempunyai 10 kerusi dan PPBM 2 kerus di DUN Melaka.