Hanya calon PKR akan dilantik exco selepas Afif letak jawatan, kata KM

Chow Kon Yeow berkata, kerajaan Pulau Pinang tidak akan menerima pencalonan wakil rakyat daripada parti lain untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Dr Afif Bahardin, selain PKR.

GEORGE TOWN: Jawatan pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan Pulau Pinang yang dikosongkan Dr Afif Bahardin hanya akan diisi calon PKR, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan menerima cadangan pencalonan wakil rakyat daripada parti lain untuk mengisi kekosongan itu selain PKR.

“Kenyataan saya sebelum ini adalah jelas, saya meminta pimpinan PKR menyerahkan senarai nama untuk diputuskan bagi mengisi kekosongan jawatan exco itu. Saya mohon (senarai nama) daripada PKR, bukan Amanah.

“Ia adalah status quo kerana jawatan itu untuk PKR,” katanya selepas menghadiri Majlis Penutup Sambutan Hari Wanita Sedunia 2020 peringkat negeri hari ini.

Beliau menjawab kenyataan Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Roslan Ahmad yang mencadangkan Adun Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil dilantik sebagai exco negeri bagi menggantikan Adun Seberang Jaya itu.

Cadangan itu dibuat berdasarkan keyakinan Amanah terhadap kemampuan dan kebolehan Faiz, selain latar belakang profesional dan pengalamannya.

Semalam, Afif yang juga timbalan ketua PKR Permatang Pauh mengumumkan peletakan jawatannya sebagai exco Pulau Pinang.

Sementara itu, Chow enggan mengulas kenyataan Afif dan pemangku pengerusi PKR Pulau Pinang Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang menyatakan peletakan jawatan itu dibuat atas nasihatnya.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut tentang butiran perbincangan kerana apa yang lebih penting adalah hasil perbincangan tersebut. Banyak perkara yang dibincangkan dan keputusannya adalah Afif telah meletak jawatan.”