Tiada kes Covid-19, ibu pejabat SKMM ditutup 2 hari untuk sanitasi

SKMM berkata, penutupan ibu pejabat dan bangunan lamanya serta penggantungan perkhidmatan kaunter pembayaran penguntukan radas mencerminkan keprihatinannya terhadap keselamatan serta kesihatan semua pihak.

KUALA LUMPUR: Ibu pejabat dan bangunan lama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Cyberjaya ditutup 2 hari bermula hari ini dan esok.

SKMM dalam kenyataan hari ini turut memaklumkan perkhidmatan kaunter pembayaran penguntukan radas di ibu pejabatnya digantung buat sementara sehingga 8 Mac ini.

Katanya, tiada kes Covid-19 dikenal pasti dalam kalangan kakitangannya setakat ini dan penutupan bangunan itu untuk memberi laluan kepada kerja pembersihan dan sanitasi sebagai langkah berjaga-jaga.

“Penutupan dan penggantungan sementara itu ialah langkah proaktif ekoran penularan wabak Covid-19 dan ia mencerminkan keprihatinan SKMM terhadap keselamatan serta kesihatan semua pihak.”

Bagaimanapun, orang ramai masih boleh membuat urusan permohonan dan pembayaran penguntukan radas melalui saluran di bawah:

a. Permohonan penguntukan radas:
i. Permohonan boleh dikemukakan secara elektronik melalui https://espectra.mcmc.gov.my/; atau

ii. Bagi pemohon baru, salinan “scan copy” borang permohonan yang dilengkapkan boleh dihantar melalui e-mel kepada [email protected]

b. Pembayaran penguntukan radas boleh dibuat melalui portal pembayaran https://epayment.skmm.gov.my. Bagi sebarang pertanyaan lanjut berhubung permohonan penguntukan radas atau lesen boleh dikemukakan kepada:

i. Penguntukan radas: [email protected]

ii. Pelesenan: [email protected]

SKMM berkata, operasi lain berjalan seperti biasa dengan kakitangannya bekerja dari rumah.