Justo pulang ke Switzerland selepas tukar kerajaan

Andre Xavier Justo berkata, beliau dan keluarganya terpaksa meninggalkan Malaysia kerana mereka banyak menderita.

PETALING JAYA: Pemberi maklumat, Andre Xavier Justo yang menjadi tumpuan media selepas mendedahkan dokumen berkaitan 1MDB sudah pulang ke Switzerland, kira-kira 13 bulan setelah beliau memutuskan untuk tinggal di Malaysia.

Warganegara Swiss itu tidak mendedahkan butiran berhubung keputusan berkenaan dan sama ada ia ada kaitan dengan pertukaran kerajaan baru-baru ini.

Justo berkata, beliau dan keluarga meninggalkan Malaysia kerana mereka banyak menderita.

“Dan saya tidak boleh mengambil risiko membuatkan orang yang paling saya sayangi menderita lagi jika ada perkara yang tidak kena.

“Kami sudah pulang dan selamat di Switzerland, tetapi hati dan jiwa kami bersama anda semua,” tulisnya di Facebook.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memastikan mereka “pergi tanpa masalah”.

“Kami yakin sepenuhnya Malaysia akan bangkit tidak lama lagi dengan sebuah kerajaan demokratik yang ditubuhkan seperti sepatutnya.”

Catatan Justo ini menyusul penubuhan kerajaan baru terdiri daripada PPBM, Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak, susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada awal minggu lalu.

Tahun lalu, Justo memberitahu FMT, beliau mahu menetap di Malaysia dengan keluarganya dan turut mencari sebuah sekolah untuk anaknya, Zander.

Justo menjadi tumpuan media selepas penahanannya pada 2015 kerana membocorkan dokumen syarikat minyak dan gas, PetroSaudi International berhubung usaha samanya dengan 1MDB.

Ini menjadi asas kepada siasatan pengubahan wang ke atas dana pelaburan negara itu.

Bagaimanapun, beliau kemudiannya dipenjarakan di Thailand selama 18 bulan atas dakwaan menuntut bayaran sebagai balasan tidak mendedahkan maklumat sulit.

Susulan kemenangan PH pada pilihan raya umum 9 Mei 2018, Justo menemui Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, yang mengarahkan siasatan baru ke atas 1MDB dan SRC International seminggu selepas beliau mengangkat sumpah ke jawatan itu.

Justo berkata, tindakannya pulang ke Switzerland bukan pengakhirannya.

“Pengakhirannya ialah hari kita tunduk dan melupakan prinsip kita, tetapi ini tidak akan berlaku!”