Kecewa gagal tadbir Melaka, Adun Rembia tolak pujukan PH

Jailani Khamis kecewa dengan PH yang didakwa gagal mentadbir Melaka. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Adun Rembia, Muhammad Jailani Khamis yang menjadi perhatian media kerana menyokong pembentukan kerajaan baru di Melaka berkata kekecewaan atas kegagalan Pakatan Harapan mentadbir negeri itu mendorong beliau beralih sokongan.

Ahli PKR itu menyenaraikan beberapa dakwaan seperti ekonomi negeri merudum, masalah air tidak selesai, keadaan prasarana tidak bagus, kotor, atau rosak tidak dibaiki, peruntukan masjid tiada, dan kebajikan rakyat tidak dijaga.

“Kalau kawasan kena banjir wakil rakyat kena keluar duit sendiri,” katanya kepada FMT.

Sokongan Jailani dan Adun Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee dari DAP menguatkan kedudukan gabungan baru di Melaka di Dewan Undangan Negeri. Umno mempunyai 13 daripada 28 kerusi, manakala PPBM 2 kerusi.

Jailani berkata beliau menolak pujukan PH memujuk beliau kembali menyokong gabungan itu, dan mendakwa 3 individu daripada PH menawarkan jawatan ketua menteri kepadanya.

“Bukan jawatan yang saya kejar, yang saya kejar kerajaan yang betul-betul buat kerja. Selama dua tahun (PH) jadi kerajaan tidak buat kerja,” katanya.

Tawaran itu, dakwanya, selepas sidang akhbar BN hari ini mengumumkan penamatan kerjasama dengan 2 Adun PPBM.

“Saya ada bukti, mereka ‘text’ saya pagi tadi,” tambahnya. “kalau saya nak, saya boleh lobi, tapi saya tidak mahu.”

Ditanya mengenai penamatan kerjasama antara BN dan 2 Adun PPBM, Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Noor Effandi Ahmad (Teluk Mas), Jailani mendedahkan beliau pernah mengajak mereka berbincang tanpa kehadiran wakil Umno.

“Tapi macam-macam alasan diberi, macam kita yang mengejar mereka, apa istimewa mereka?” katanya.

Jailani berkata beliau tidak suka jika ada Adun dilantik jadi ketua menteri baru kerana dia rapat dengan orang atasan parti, menegaskan pelantikan kena melalui musyawarah dan calon dipilih mesti ada kredibiliti.

Beliau bagaimanapun tidak mahu menamakan siapa wakil rakyat itu.

Mengenai sifat kerajaan baru di Melaka, Jailani menjelaskan ia agak istimewa kerana ia dibentuk oleh gabungan wakil-wakil rakyat Melaka yang menyokong gabungan baru di peringkat pusat.

“kerajaan baru di Melaka ini bukan kerajaan negeri Perikatan Nasional,” katanya.