Keputusan Saudi gantung visa umrah kerana Covid-19 tidak perlu dipertikai, kata mufti Pahang

Kerajaan Arab Saudi menggantung sementara kemasukan jemaah umrah ke Makkah dan lawatan ke Masjid Nabawi di Madinah, selain menggantung visa pelancongan dari negara yang berdepan ancaman Covid-19. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Keputusan Arab Saudi menggantung sementara visa umrah bagi mengekang penularan wabak Covid-19 tidak seharusnya dibantah mana-mana pihak kerana ia untuk kebaikan bersama, kata Mufti Pahang Abdul Rahman Osman.

Abdul Rahman berkata, adalah lebih baik dan bermanfaat sekiranya jemaah dari Malaysia tidak menunaikan ibadah umrah buat seketika kerana wabak itu menjejaskan beberapa negara, termasuk Malaysia.

“Kalau menjadi masalah besar dan terkena wabak ini, adalah lebih baik tidak pergi menunaikan umrah kerana ia hanyalah ibadah sunat. Jika menyebabkan mudarat kepada orang lain, maka tidak boleh juga.

“Orang terlalu ramai dan kita tidak tahu sama ada orang yang pergi turut terkena wabak ini atau tidak. Kalau berlaku, satu kapal terbang terpaksa dikuarantin dan satu hotel terpaksa dicuci demi mengekang wabak ini,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, kerajaan Arab Saudi menggantung sementara kemasukan jemaah umrah ke Makkah dan lawatan ke Masjid Nabawi di Madinah, selain menggantung visa pelancongan dari negara yang berdepan ancaman Covid-19.

Abdul Rahman Osman

Langkah itu susulan kebimbangan terhadap penularan wabak terbabit yang telah mengorbankan lebih 2,715 orang dan menjangkiti lebih 78,000 orang di China setakat ini.

Sementara itu, naib presiden, Unit Umrah dan Haji, Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Mohd Azri Abd Razak menjangkakan keputusan kerajaan Arab Saudi itu akan memberi kesan kepada lebih 10,000 jemaah umrah dari Malaysia.

Abdul Rahman menyarankan, adalah lebih baik sekiranya wang perbelanjaan yang sepatutnya digunakan untuk menunaikan ibadah umrah disalurkan dan disedekahkan kepada golongan kurang berkemampuan, seperti anak yatim.

“Kita boleh salurkan juga untuk bersedekah kepada anak yatim dan perkara lain, akan dapat pahala juga,” katanya.

Abdul Rahman bagaimanapun berharap penularan wabak Covid-19 ini dapat diatasi dan diselesaikan secepat mungkin, sebelum musim menunaikan ibadah Haji.

Menurutnya sekiranya tidak dapat diselesaikan sudah tentu ia akan mendatangkan masalah, khususnya dari aspek kuota Haji.

“Kita berdoa supaya tidak berlaku pada musim Haji, kalau berlaku memang ada masalah,” katanya.