Kerajaan PH hampir berjaya laksana pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN, kata Guan Eng

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata, PH bersetuju melaksanakan janji manifesto untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN peminjam yang mendapat gaji kurang RM4,000 sebulan.

PETALING JAYA: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah bersetuju untuk melaksanakan pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), namun tumbang sebelum pengumuman rasmi dibuat.

Bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng berkata kerajaan PH bersetuju untuk melaksanakan janji dalam manifesto pilihan raya umum untuk membenarkan peminjam PTPTN membayar balik pinjaman mereka hanya selepas gaji bulanan mereka melebihi RM4,000.

“Formula PTPTN dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan itu memerlukan kerajaan menanggung pinjaman tambahan di atas pinjaman sedia ada yang ditanggung oleh kerajaan untuk membiayai pinjaman PTPTN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata, janji untuk membenarkan peminjam PTPTN membayar balik pinjaman hanya selepas mereka mendapat gaji lebih RM4,000 sebulan tetap akan ditunaikan, meskipun kerajaan perlu menanggung pinjaman tambahan.

Katanya, sepanjang 21 bulan yang lalu, kerajaan PH bekerja keras menunaikan janji manifestonya.

Pada 26 Dis tahun lepas, pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata, kerajaan PH tidak gagal dalam melaksanakan janji manifestonya berkaitan PTPTN, sebaliknya 3 daripada 4 janji yang terkandung dalam Buku Harapan telah dilaksanakan.

Wan Saiful berkata, terdapat 4 janji manifesto, iaitu pertama, pelajar cemerlang diberikan pelupusan pinjaman sekiranya mereka datang daripada keluarga B40 dan M40 dan telah dilaksanakan.

Beliau berkata, sekatan imigresen juga sudah dilaksanakan dalam masa sebulan dua itu.

Dalam pada itu katanya, janji bahawa majikan peminjam yang tidak mampu bayar diberikan insentif untuk membantu membuat bayaran juga telah dilaksanakan bermula tahun ini.

Tambahnya, cuma satu janji yang belum dapat dilaksanakan iaitu penangguhan pembayaran balik pinjaman bagi peminjam yang mendapat gaji kurang daripada RM4,000 sebulan.

Wan Saiful berkata, janji tersebut sedang diusahakan pihaknya dan perkara tersebut akan mengambil sedikit masa untuk ditunaikan.