Masih awal untuk bincang RUU 355, kata wakil rakyat PAS

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Khairuddin Aman Razali.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen PAS, Khairuddin Aman Razali berkata parti Islam itu belum menimbulkan cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 3555 kepada gabungan baru Parikatan Nasional kerana masih awal untuk berbuat demikian.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata gabungan itu sedang membincangkan isu yang penting seperti pembentukan Kabinet dan hala tuju kerajaan baru.

Kepentingan sekarang juga, katanya, ialah “menguruskan perbezaan antara parti dan menteri, membina hala tuju untuk rakyat – semua sekali orang Islam dan bukan Islam, orang miskin dan yang susah.

“Cerita RUU 355 itu lambat lagi. Sekarang bulan 3 kita kena uruskan dahulu,” katanya kepada FMT.

PAS sebelum ini menggesa kerajaan lepas membahaskan dan meminda akta itu. Khairuddin berkata gabungan itu perlu mempertimbangkan keperluan golongan miskin dan susah, membina pembangunan ekonomi dan tahap pendidikan.

Memandangkan Dewan Rakyat hanya akan bersidang pada Mei, PAS masih ada 2 bulan sebelum perbincangan tentang RUU 355 diadakan.

Mengenai barisan Kabinet, Khairuddin berkata terserah kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“PAS tidak diajar untuk berebut jawatan,” katanya. “PAS serahkan kepada perdana menteri.”

Difahamkan pemimpin dari Umno, MCA, MIC, PPBM, dan PAS dalam siri mesyuarat membincangkan Kabinet baru.

PAS ada 18 ahli Parlimen manakala Barisan Nasional ada 42 ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin, yang mengangkat sumpah pada 29 Feb, menandakan tumbangnya kerajaan PH.