PM lantik bekas setiausaha politik sebagai ketua setiausaha sulit

Marzuki Mohamad.

PETALING JAYA: Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini memaklumkan pelantikan Marzuki Mohamad sebagai ketua setiausaha sulit kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dalam satu kenyataan, PMO berkata pelantikan Marzuki berkuat kuasa pada 1 Mac lepas.

Marzuki, 46 mula bekerja dengan Muhyiddin pada 2009 apabila dilantik sebagai pegawai khas timbalan perdana menteri ketika itu.

Beliau memiliki ijazah undang-undang daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIA), ijazah sains politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan PhD dalam sains politik daripada Universiti Nasional Australia.

Marzuki juga pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik Muhyiddin ketika beliau merupakan menteri pendidikan dari 2013 hingga 2015.

Beliau kemudiannya bertugas sebagai profesor madya di Jabatan Sains Politik UIA sebelum mengetuainya kemudian.

Beliau kembali bertugas dengan Muhyiddin sebagai pegawai tugas khas pada 2018 apabila ahli Parlimen Pagoh itu dilantik sebagai menteri dalam negeri.