Saya bukan orang jahat, kata MB Selangor

Amirudin Shari (duduk, tengah) bersama Adun yang menyokongnya mengadakan sidang media di kediaman rasminya di Shah Alam petang ini.

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menyuarakan sokongannya kepada Pakatan Harapan (PH) dan berkata ia mempunyai jumlah mencukupi untuk mengekalkan majoriti di negeri itu.

Katanya, 43 Adun sudah menyatakan sokongan mereka dan hanya 13 wakil rakyat meninggalkan PH.

“Saya ialah orang parti, bukan orang jahat,” katanya pada sidang media di kediaman rasminya di sini, hari ini.

“MB memerintah berdasarkan sokongan Adun.”

Pengerusi PH Selangor dan PKR negeri itu berkata, peruntukan kepada Adun PPBM yang keluar daripada PH Selangor dibekukan serta-merta.

Beliau berkata, mana-mana pemimpin negeri yang mempunyai kaitan dengan PPBM akan dipecat.

Katanya, ini termasuk pembabitan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan, Majlis Permuafakatan Ketua Kampung (MPKK), anak syarikat kerajaan Selangor serta seluruh rangkaiannya.

“Yang berkaitan dan sesuai dengan keadaan politik semasa.”

Terdahulu, Exco daripada PPBM, Abdul Rashid Asari yang memegang portfolio kebudayaan dan pelancongan, peradaban Melayu dan warisan digugurkan daripada kerajaan negeri ekoran perubahan kerajaan pusat.

Bagaimanapun, Amirudin berkata, kerjasama kerajaan negeri dan pusat akan kekal seperti biasa atas prinsip federalisme yang digagaskan melalui Perlembagaan Persekutuan.

“PH Selangor bertegas sepakat untuk menolak sebarang cubaan mengganggu gugat mandat rakyat.”

Katanya, beliau akan membuat pengumuman pada petang ini susulan perkembangan terbaru keadaan politik di Selangor.

Beliau berkata, tiada unsur kejutan jika beliau mendedahkan perkara itu dalam sidang media ini.

“Kita tunggu kalau ada perkembangan nanti,” katanya.