Selangor tubuh pasukan petugas tangani Covid-19

Malaysia memasuki gelombang kedua Covid-19 bermula 27 Feb lalu.

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menubuhkan pasukan petugas untuk tangani penularan Covid-19 di negeri itu, susulan laporan mengatakan negara berdepan gelombang kedua koronavirus semalam.

Siti Mariah Mahmud

Perkara tersebut diumumkan Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud pada sidang media hari ini.

Beliau akan mengetuai pasukan petugas itu yang dijadualkan bermula Isnin depan.

“Pasukan petugas ini tidak akan melibatkan peruntukan baru kerana hanya meliputi cara-cara mendidik langkah pembersihan,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan negara sudah memasuki gelombang kedua Covid-19 bermula 27 Feb lalu, di mana satu kluster Covid-19 dikenal pasti dan membabitkan kes ke-26.