SJMC ambil langkah disinfeksi, pembersihan bendung jangkitan Covid-19

SJMC menutup sementara wad kecemasannya bagi melaksanakan kerja pembersihan dan pembasmian kuman seluruh kawasan berikutan terdapat 3 kes Covid-19 dilaporkan di hospital itu. (Gambar SJMC)

KUALA LUMPUR: Subang Jaya Medical Centre (SJMC) menutup sementara wad kecemasannya (ER) semalam bagi melaksanakan kerja pembersihan dan pembasmian kuman seluruh kawasan berikutan terdapat 3 kes Covid-19 dilaporkan di hospital itu.

Ramsay Sime Darby Health Care (RSDH) dalam satu kenyataan semalam memaklumkan wad berkenaan dibuka semula pada 6 petang hari yang sama.

RSDH semalam mengesahkan satu daripada hospitalnya, SJMC melaporkan 3 kes Covid-19.

Dua kes pertama dirawat di Jabatan Kecemasan SJMC, manakala kes ke-3 merupakan kakitangan hospital yang mempunyai kontak dengan pesakit kedua di wad kecemasan.

“Dengan mematuhi piawaian antarabangsa, kami mempunyai langkah kawalan jangkitan yang terbaik untuk memastikan kami mengehadkan apa-apa risiko kepada kakitangan, doktor, pesakit dan pelawat, serta komuniti yang kami memberi khidmat,” kata ketua pegawai eksekutif Kumpulan RSDH Greg Brown.

Brown menjelaskan bahawa RSDH melaksanakan protokol keselamatan yang ketat bagi hospitalnya.

“Kami memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kami mengambil semua langkah yang perlu untuk menyediakan persekitaran yang selamat untuk kakitangan, doktor, pesakit dan semua yang melalui pintu kami.

“Sebagai sebahagian daripada protokol keselamatan yang ketat, kami telah melaksanakan stesen saringan di semua pintu masuk hospital kami untuk memastikan semua pesakit dan pelawat disaring secara teliti mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan,” katanya dan memaklumkan bahawa hospital juga mengadakan kawasan khas di luar ER untuk menguruskan kes yang disyaki Covid-19.