SPRM mula siasat aset Ku Nan hampir RM1 bilion

Latheefa Koya berkata, isunya bukan mengenai pendedahan aset hampir RM1 bilion itu,tetapi bagaimana Tengku Adnan Tengku Mansor mendapat aset berkenaan.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan siasatan ke atas bekas menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor susulan pendedahan di mahkamah semalam yang beliau mempunyai aset hampir RM1 bilion.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, SPRM mendapati ia adalah isu serius yang memerlukan siasatan lanjut.

“Isu kami bukan mengenai pendedahan aset, tetapi bagaimana beliau mendapat aset-aset ini,” katanya selepas memberi keterangan dalam perbicaraan Najib Razak membabitkan SRC International.

Semalam, Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan mengisytiharkan aset berjumlah RM938,643,566.16 ketika mula menyertai Kabinet pimpinan Dr Mahathir Mohamad sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2001.

Pada 2006, beliau mengisytiharkan aset bernilai RM711,325,822 kepada Perdana Menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi yang melantiknya sebagai menteri pelancongan.

Beliau kemudiannya mengisytiharkan RM691,770,649 dan RM782,748,061 aset dimiliknya kepada Najib Razak ketika menjadi menteri Wilayah Persekutuan pada 2013 serta 2016.

Tengku Adnan dibicarakan atas tuduhan menerima RM2 juta daripada Chai Kin Kong yang juga pengarah Aset Kayamas, walaupun tahu syarikat lelaki itu mempunyai urusan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan pimpinannya ketika itu.

Dalam pembelaannya, Tengku Adnan berkata, beliau tidak mendapat manfaat daripada wang itu yang dimasukkan ke akaun syarikatnya, Tadmansori Holdings pada 2016 kerana ia adalah sumbangan politik untuk 2 pilihan raya kecil itu.

Sementara itu, Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ahli Parlimen Umno dan PAS harus mengisytiharkan aset mereka.

“Jika Ku Nan, setiausaha agung BN boleh kumpul aset RM1 bilion, bayangkan pemimpin BN lain,” tulisnya di Twitter.