TPM ‘pak turut’ dari Sabah, Sarawak tak memadai, kata aktivis Borneo

Dewan Undangan Negeri Sabah di Kota Kinabalu. Terdapat cadangan untuk melantik seorang timbalan perdana menteri dari Sabah atau Sarawak di bawah kerajaan baru pimpinan Muhyiddin Yassin. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Kumpulan warga pribumi di sini mengalu-alukan cadangan untuk melantik pemimpin dari Sabah atau sarawak sebagai timbalan perdana menteri (TPM), tetapi mengingatkan bahawa kesetiaan 2 rakan kongsi persekutuan Malaysia itu boleh “dibeli”.

Solidariti Anak Sabah Sarawak (SASS), satu gerakan yang menyokong kebebasan kendiri berkata, pelantikan TPM dari salah sebuah negeri itu harus dipuji.

Pengasas bersama SASS Andrew Atama Ambrose bagaimanapun berkata, lantikan itu tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya individu yang dilantik hanya patuh kepada kerajaan persekutuan.

“Kenapa rakyat Sabah atau Sarawak diberi pertimbangan sama sebagi TPM sekiranya memeraka mempunyai kemahiran dan kebolehan? Namun begitu, ia (lantikan sebagai TPM) adalah penyelesaian simplistic kepada isu lebih besar.

“Orang yang diberikan jawatan TPM tentulah seorang ‘komprador’ (ejen) kerajaan persekutuan di Sabah dan Sarawak.

“Jangan harap kesetiaan kami boleh ‘dibeli’ dengan harga yang begitu murah. Hak rakyat Sabah dan Sarawak adalah jauh lebih penting daripada jawatan TPM untuk seorang pemimpin,” katanya kepada FMT.

Seorang pemimpin PAS Sarawak semalam mencadangkan supaya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menimbangkan kemungkinan menawarkan jawatan TPM kepada pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau Sabah.

Katanya, langkah itu akan memberi kepada pemimpin Borneo lebih banyak kuasa bagi memastikan hak perlembagaan 2 negeri itu dikembalikan kepada mereka.

PBB juga berkata, GPS seharusnya diberikan jawatan dalam Kabinet baru Putrajaya.

Ambrose berkata, perimbangan kuasa antara 3 wilayah Malaysia itu harus diperbetulkan terlebih dahulu sebelum TPM “tunggal” itu dapat memperjuangkan hak negeri Borneo.

Jika tidak katanya, ia hanya akan menjadi janji manis kepada wakil rakyat Borneo dalam landskap politik nasional.

Andrew Atama Ambrose

“Sepanjang minggu lepas, negeri Borneo khasnya, menyaksikan drama politik yang berlaku yang akhirnya tidak membawa apa-apa perubahan ke atas kedudukan mereka.

“Oleh itu kami mengulangi gesaan supaya kerajaan baru meneruskan usaha memberi lebih kuasa kepada negeri Borneo bagi membolehkan kami menikmati kebebasan kendiri seperti yang dibayangkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Ambrose berkata, dalam menimbangkan jawatan TPM itu, kerajaan pusat juga harus menghormati hak asasi semua rakyat Sabah dan Sarawak, tanpa mengira parti politik yang mereka pilih.

“Ia mesti mengutamakan kepentingan rakyat dan MA63 mengatasi semua yang lain.

Dalam pada itu, penganalisis politik Lee Kuok Tiung berkata, pengembalian hak kepada Sabah dan Sarawak adalah lebih penting daripada jawatan TPM.

“Menamakan seorang warga Sarawak atau Sabah tidak akan mengendurkan tuntutan rakyat kedua-dua negeri berhubung MA63,” katanya.

Beliau berkata, pemberian status sama, penyerahkan hak minyak dan gas serta membawa lebih banyak pembangunan ke Sabah dan Sarawak adalah keutamaan lebih tinggi.

Pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sabah itu berkata, GPS sebelum ini berkata bahawa jawatan dalam Kabinet pusat tidak begitu penting.

Lee berkata, GPS memainkan peranan penting berikutan kebuntuan politik yang berlaku minggu lepas.

“Apabila presiden PKR Anwar Ibrahim dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bersaing rapat dari segi sokongan, iaitu 93-96 (ahli Parlimen menyokong mereka), GPS tahu bahawa mereka bakal menjadi suara penentu kerana memiliki 18 kerusi Parlimen, berbanding Warisan (9).

“Sokongan mereka bersyarat dan berkait rapat dengan hak Sarawak. Kedudukan dalam Kabinet tidak termasukdalam perbincangan,” katanya.