2 Adun PPBM sokong kerajaan PH Pulau Pinang

Zolkifly Md Lazim (kiri) berkata, beliau dan Khaliq Mehtab Mohd Ishaq akan terus bersama Pengerusi PPBM Pulau Pinang, Marzuki Yahya dan kepimpinan parti negeri.

GEORGE TOWN: Dua Adun PPBM hari ini mengumumkan sokongan mereka terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang.

Adun Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim berkata, beliau dan Adun Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq akan terus menyokong dan mendukung PH.

“Kami sepakat akan membawa mandat rakyat untuk terus bersama menyokong kerajaan PH di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, mereka berdua juga akan terus bersama Pengerusi PPBM Pulau Pinang, Marzuki Yahya dan kepimpinan parti negeri.

Daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, DAP menguasai 19 kerusi, PKR (14), Amanah (2), PPBM (2), Umno (2) dan PAS (1).