2 buruh Bangladesh maut tertimbus ketika tanam paip najis

Siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian 2 buruh Bangladesh tertimbus tanah runtuh di Mentakab. (Gambar Bernama)

KUANTAN: Dua buruh warga Bangladesh maut selepas tertimbus tanah runtuh di sebuah tapak projek perumahan di Mentakab, Temerloh semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh Mohd Yusri Othman berkata kejadian dipercayai berlaku pada 4.15 petang semasa kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakan mereka sedang melakukan kerja menanam paip najis.

Mangsa dikenal pasti sebagai Md Shoriful, 43, dan Julhas Rahman, 27, berdasarkan maklumat lisan rakan sekerja mereka.

“Kedua-dua mangsa difahamkan berada dalam lubang yang dianggarkan sedalam 6m dan terdapat 2 jentera di atas yang melakukan kerja-kerja mengorek tanah.

“Timbunan tanah di bahagian tepi lubang dikatakan runtuh semasa kerja-kerja itu dilakukan dan menimbus mereka,” katanya semasa dihubungi semalam.

Yusri berkata rakan sekerja mangsa cuba untuk menyelamatkan mereka namun hanya mampu mengeluarkan seorang daripada mereka berikutan kewujudan tanah runtuhan yang banyak.

Beliau berkata pihak bomba berjaya mengeluarkan Shoriful pada 4.45 petang manakala mangsa kedua ditemui kira-kira 15 minit kemudian.

Jenazah kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk bedah siasat.

Setakat ini, siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu, katanya.