31 Mac mahkamah tentukan jika wanita ada akses kepada Samy Vellu

Meeriam Rosaline Edward Paul (2 dari kiri) memohon perintah interim bagi memperoleh akses tanpa syarat ke atas Samy Vellu dan mahkamah mengeluarkan perintah membayar nafkah RM25,000 kepadanya setiap bulan. Kiri ialah peguam RSN Rayer.

IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 31 Mac untuk keputusan sama ada meneruskan atau menangguhkan prosiding permohonan perintah interim seorang wanita yang mendakwa isteri kepada bekas presiden MIC, S Samy Vellu.

Peguam RSN Rayer yang mewakili wanita itu, Meeriam Rosaline Edward Paul, 60, memaklumkan perkara tersebut kepada pemberita selepas kes didengar di depan Hakim Hashim Hamzah yang kemudian menetapkan 31 Mac ini untuk membuat keputusan.

Rayer berkata, David Matthews yang mewakili anak Samy Vellu, Vell Paari selaku defendan, memohon mahkamah menangguhkan prosiding permohonan yang difailkan Meeriam Rosaline untuk mendapatkan perintah interim bagi memperoleh akses tanpa syarat ke atas bekas menteri kerja raya itu, selain memohon mahkamah mengeluarkan perintah membayar nafkah RM25,000 kepadanya setiap bulan.

“Mereka memohon prosiding ditangguhkan dengan alasan telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menentukan keupayaan mental Samy Vellu dan kami membantah dengan mengatakan keupayaan mental beliau dalam keadaan baik.

“Malah, kami telah merujuk gambar dalam afidavit Meeriam Rosaline yang menunjukkan beliau (Samy Vellu) menghadiri beberapa acara tahun lepas dan perayaan Thaipusam di Batu Caves tahun ini,” katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam S Ramesh.

Sementara itu, Ramesh berkata, mereka memaklumkan kepada mahkamah saman difailkan Vell Paari tidak ada asas untuk menentukan kesihatan mental bapanya kerana Samy Vellu melantik peguam Prem Ramachandran untuk mewakilinya.

“Kami memberitahu hakim, seseorang yang tidak mempunyai kemampuan mental, tidak dapat melantik seorang peguam.

“Anak guam kami (Meeriam Rosaline) tidak boleh dinafikan haknya, tanpa mengira keputusan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana kami berpendapat Samy Velly benar-benar sihat.”

Vell Paari memfailkan saman terhadap Samy Vellu pada 2 Dis tahun lepas memohon perintah mahkamah supaya siasatan dilakukan bagi menentukan keupayaan mental Samy Vellu dan sama ada bekas presiden MIC itu berupaya menguruskan diri serta hal ehwalnya.