Polis sahkan tangkapan Aliff Syukri, dibebaskan dengan jaminan

Aliff Syukri didakwa mendera anak angkatnya berusia 2 tahun. (Gambar Instagram)

PETALING JAYA: Polis hari ini mengesahkan usahawan kosmetik Aliff Syukri ditangkap dalam siasatan ke atas dakwaan memukul anak angkat berusia 2 tahun.

“Tangkapan telah dibuat ke atas Datuk Alif semalam. Siasatan telah dibuat dan beliau dibebaskan dengan jaminan polis semalam,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat.

Semalam, Fadzil dilaporkan berkata pihaknya akan memanggil beberapa saksi yang berkaitan dengan kes berkenaan, selepas seorang pembantu rumah warga Indonesia dipercayai pekerja Aliff, membuat laporan polis pada 29 Feb lalu.

Kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Ia merupakan kesalahan atas tindakan menganiaya, mengabaikan, pembuangan terhadap kanak-kanak.

Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Kejadian yang berlaku pada 28 Feb difahamkan terjadi di kediaman usahawan itu dan sehari kemudian, pembantu rumahnya membuat laporan polis sebagai perlindungan diri.

Suspek dikatakan memukul mangsa yang menangis ketika beliau sibuk merakam klip video untuk saluran YouTube miliknya.