AS tangguh pulangkan RM1 bilion dana 1MDB kepada Malaysia

Sumber berkata, DoJ pada mulanya dijadual mengembalikan dana 1MDB yang ditemui itu menerusi bayaran berikutnya pada 19 Feb lalu, tetapi berlaku masalah teknikal dan ia tidak dipindahkan. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) menangguhkan pemulangan AS$240 juta (RM1 bilion) yang didakwa dicuri daripada dana 1MDB, kata 2 sumber yang tahu perkara itu pada Jumaat, dengan seorang daripadanya menyatakan ketidaktentuan politik sebagai faktornya.

Malaysia dilanda kemelut politik apabila Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan perdana menteri pada 24 Feb lalu.

Beliau digantikan Muhyiddin Yassin pada Ahad lalu yang membentuk gabungan baru turut disertai Barisan Nasional yang digulingkan pada pilihan raya umum pada 2018 selepas dakwaan rasuah berkaitan 1MDB.

DoJ berkata, lebih AS$4.5 bilion dicuri daripada dana itu di bawah bekas perdana menteri, Najib Razak yang kini dibicarakan atas pertuduhan rasuah.

Sejak 2016, DoJ memfailkan saman sivil untuk merampas aset kira-kira AS$1.7 bilion yang didakwa dibeli dengan dana yang diseleweng daripada 1MDB.

Mei tahun lalu, AS mula mengembalikan sebahagian daripada dana yang ditemui itu dengan bayaran pertama berjumlah hampir AS$200 juta.

Dua sumber itu berkata, DoJ pada mulanya dijadual mengembalikan dana yang ditemui itu menerusi bayaran berikutnya pada 19 Feb lalu, tetapi berlaku masalah teknikal dan dana berkenaan tidak dipindahkan.

Seorang daripada sumber itu berkata, jumlah keseluruhan sekitar RM1 bilion.

Tetapi, kata sumber, sebaik saja Mahathir meletak jawatan, ia memutuskan untuk menangguhkan bayaran itu disebabkan ketidaktentuan terhadap apa yang akan berlaku seterusnya.

Dua sumber itu tidak mahu dinamakan kerana mereka tiada kuasa untuk bercakap kepada media.

Jurucakap DoJ enggan mengulas.

Kementerian Kewangan mengalihkan soalan itu kepada Jabatan Peguam Negara yang tidak mengulas segera.

Sumber itu berkata, mereka tidak tahu langkah DoJ berikutnya.

Pemulangan dana itu dimasukkan ke sebuah tabung khas di Kementerian Kewangan dan akan digunakan untuk membayar pemegang bon 1MDB.

Penyiasat AS dan Malaysia dilaporkan berkata, Najib menerima kira-kira AS$1 bilion yang dicuri daripada dana 1MDB.

Beliau mengaku tidak bersalah dan berkata dikelirukan ahli perniagaan Low Taek Jho serta pegawai 1MDB lain.

Hanya selepas kekalahan tanpa dijangka Najib pada PRU 2018, siasatan 1MDB dibuka semula di Malaysia dan perbicaraan bermula.

Goldman Sachs dan beberapa eksekutifnya antara individu didakwa atas peranan mereka sebagai penaja jamin dan pengatur 3 jualan bon berjumlah AS $6.5 bilion untuk 1MDB. Tiga unit Goldman mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan itu.

Najib memberitahu Reuters minggu ini, beliau menjangkakan suasana lebih kondusif untuk perbicaraan adil selepas Mahathir tiada dalam kerajaan lagi.

Muhyiddin belum menyentuh mengenai kes 1MDB, tetapi beliau berjanji akan memerangi amalan rasuah.

Dua pegawai kanan dalam kerajaan Mahathir yang memerangi rasuah — peguam negara dan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia — berundur selepas peletakan jawatan Mahathir.