Australia arah tutup sekolah selepas pelajar dijangkiti Covid-19

Australia merekodkan 60 kes Covid-19 dan 2 warga emas meninggal dunia akibat virus itu. (Gambar AP)

SYDNEY: Australia mengarahkan penutupan sekolah buat kali pertama pada Jumaat selepas seorang pelajar berusia 16 tahun diuji positif Covid-19, ketika pihak berkuasa berjuang untuk menangani wabak itu di seluruh negara.

Australia merekodkan 60 kes jangkitan dan 2 warga emas meninggal dunia akibat virus itu.

Remaja lelaki berusia 16 tahun yang tinggal di Sydney, bandar terbesar di Australia, menjadi mangsa terbaru didiagnosis penyakit itu.

Terdesak untuk memastikan Covid-19 tidak tersebar, Australia mengarahkan penutupan Sekolah Tinggi Lelaki Epping di utara bandar itu sekurang-kurangnya sehari, sementara hampir 1,200 murid dan kakitangannya perlu melakukan kuarantin diri sendiri.

“Pelajar sekolah itu dinasihatkan supaya tinggal di rumah dan mengasingkan diri sendiri pada hujung minggu,” kata kerajaan negeri New South Wales (NSW) dalam satu kenyataan melalui e-mel.

“Kakitangan juga diminta untuk tinggal di rumah dan mengasingkan diri sendiri. Sekolah akan menyediakan kemas kini selanjutnya pada hujung minggu mengenai langkah seterusnya.”

Menteri Kesihatan NSW, Brad Hazzard berkata, remaja itu dipercayai dijangkiti virus tersebut melalui kontak dengan pesakit Covid-19 yang lain.

Penutupan itu dibuat ketika kerajaan Australia bersedia mengumumkan pakej rangsangan untuk meredakan ekonomi akibat virus tersebut.

Bendahari Australia Josh Frydenberg berkata pakej berjumlah bilion dolar itu akan mensasarkan sektor yang paling terjejas akibat Covid-19.

Media tempatan pada Jumaat melaporkan kerajaan sedang menimbang untuk memberi subsidi upah kepada perniagaan kecil dan sederhana di tengah-tengah kebimbangan kehilangan pekerjaan yang meluas yang boleh membawa kepada kemelesetan ekonomi.