Camila Cabello ajak orang ramai bantu kanak-kanak di Syria

Cabello bergambar bersama salah seorang kanak-kanak di Syria. (Gambar Instagram)

Penyanyi Camila Cabello yang terkenal menerusi single “Senorita” mengajak orang ramai untuk membantu masyarakat Syria.

Perkara itu disuarakannya ketika menyambut hari jadinya yang ke 23 tahun Selasa lalu.

“Terima kasih semua, saya benar-benar mengasihi kamu dan saya sangat bersyukur untuk kamu.

“Untuk hari jadi saya ingin memberi perhatian kepada salah satu krisis kemanusiaan yang paling buruk yang terjadi di dunia sekarang ini di Syria,” katanya.

Penyanyi lagu Havana itu juga memberitahu bagaimana situasi di Syria ketika ini menerusi postingnya di Instagram.

“950,000 orang telah dipaksa untuk melarikan diri dari rumah kerana keganasan di Idlib. Sesetengahnya hanya sehelai sepinggang tanpa sebarang pakaian lain.

Camila Cabello ajak orang ramai untuk bantu keluarga dalam kesusahan di Syria.

“Kebanyakan mereka adalah kanak-kanak.

“Sekarang, mereka tinggal di kem pengasingan dalam suhu sejuk beku. Ini bukan pilihan mereka sebagai sebuah keluarga untuk hidup dalam kesengsaraan dihimpit kesusahan antara mati akibat bom atau suhu sejuk,” katanya lagi.

Menurut Cabello “Save the Children” berfungsi untuk menyediakan makanan, selimut untuk keluarga yang tidak ada tempat tinggal.

Oleh itu, Cabello mengajak orang ramai untuk membantu kanak-kanak dan keluarga yang dalam kesusahan.

“Jadi untuk hari jadi saya, ini akan banyak memberi kesan kepada saya jika anda mempertimbangkan untuk menyokong “Save the Children” untuk krisis kemanusiaan ini,” ujarnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]