Tak masuk akal desak Azhar letak jawatan, kata bekas ketua SPR

Abdul Rashid Abdul Rahman menepis tindakan pihak mempertikaikan latar belakang Azhar Azizan Harun sebagai aktivis politik dan mengaitkannya dengan PH.

PETALING JAYA: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun tidak perlu tunduk kepada desakan meletak jawatan, selepas peguam negara dan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berundur susulan pertukaran kerajaan pada minggu lalu, kata bekas pengerusi suruhanjaya itu, Abdul Rashid Abdul Rahman.

“Bagi saya, itu semua tidak masuk akal. Jika mahu menilai Azhar, nilai beliau pada kerjanya,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Terdahulu, bekas timbalan pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar dilaporkan menggesa Azhar dan pesuruhjayanya meletak jawatan untuk memastikan suruhanjaya itu kekal bebas dan berkecuali.

Beliau turut mendakwa SPR dianggotai aktivis pro-PH.

Rashid yang juga pengerusi Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) berkata, Azhar menjalankan amanah yang diberikan kepadanya dengan penuh profesional serta berjaya meningkatkan imej dan reputasi SPR sejak mengetuai suruhanjaya itu pada Sept 2018.

Katanya, kredibiliti Azhar terbukti apabila tiada aduan diterima daripada mana-mana pihak selepas mengendalikan lebih 5 pilihan raya kecil dan ini membuktikan beliau berkhidmat dengan cemerlang, khususnya dalam membawa reformasi kepada pilihan raya.

Rashid turut menepis tindakan pihak yang mempertikaikan latar belakang Azhar sebagai aktivis politik dan mengaitkan beliau dengan Pakatan Harapan.

“Dia bukan seorang yang politikal. Dia patut kekal di situ (SPR),” katanya sambil menambah prestasi Azhar perlu dinilai tanpa perlu melihat sejarahnya.

Sementara itu, pemantau pilihan raya Bersih 2.0 menyifatkan gesaan untuk Azhar meletak jawatan sebagai tidak logik, serangan ke atas integriti SPR, Perlembagaan Persekutuan dan demokrasi negara.

Katanya, sebagai badan perlembagaan, pengerusi serta pesuruhjaya SPR dilantik Yang di-Pertuan Agong dan mereka hanya berhenti pada usia 66 tahun atau dipecat Agong.

“Gesaan Wan Ahmad untuk peletakan jawatan SPR mendedahkan bukan hanya pengetahuan sempitnya mengenai demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan, tetapi juga persepsi dirinya sebagai lantikan politik ketika menjadi setiausaha SPR (1998-2004) dan kemudiannya timbalan pengerusi (2004-2013).

“Tidak hairanlah SPR pada 1998 hingga 2013 gagal meyakinkan rakyat yang mereka menjalankan tugas secara bebas dan berintegriti,” katanya Bersih 2.0 dalam kenyataan hari ini.

Katanya, SPR di bawah pimpinan Azhar sudah memperkenalkan pelbagai pembaharuan, termasuk mewajibkan calon berikrar tidak akan melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya, mengesahan kewujudan pengundi berdaftar dan menyiarkan proses pengiraan undi secara langsung.

Bersih 2.0 berkata, SPR juga tidak melakukan sebarang salah laku atau tindakan melanggar Perlembagaan Persekutuan, undang-undang atau prinsip pilihan raya bebas serta adil.

“Keseluruhannya, SPR hari ini lebih baik, lebih telus dan terbuka berbanding SPR di bawah zaman Barisan Nasional.”