Exco kerajaan baru Johor angkat sumpah hari ini
Kerajaan Gabungan Baru terbentuk dengan majoriti mudah 28-26 selepas sesi temu bual bersama Sultan Johor Rabu lepas.
JOHOR BAHRU: Majlis angkat sumpah barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (exco) Negeri Johor daripada kerajaan Gabungan Baharu, berlangsung pagi ini.
Majlis berkenaan diadakan di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Wakil media menunggu di pekarangan pintu istana sejak 8 pagi ini, selain orang awam yang mengunjungi kawasan sekitar.
Pada 8.30 pagi, kenderaan rasmi Menteri Besar Johor Hasni Mohammad kelihatan memasuki istana.
Dua puluh minit kemudian, Sultan Ibrahim dilihat tiba, diikuti kenderaan yang membawa Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak lama selepas itu.
Pelantikan barisan Exco hari ini genap seminggu setelah Hasni mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor yang ke-18.
Pelantikan Hasni susulan terbentuknya kerajaan Gabungan Baharu setelah PPBM keluar daripada Pakatan Harapan (PH) pada 24 Feb lepas.
Kerajaan Gabungan Baru terbentuk dengan majoriti mudah 28-26 selepas sesi temu bual bersama Sultan Johor Rabu lepas.
Hasni dijadual mengadakan sidang akhbar bersama barisan exco negeri yang baru selepas majlis angkat sumpah berkenaan selesai.
Menurut kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Sultan Johor, 10 anggota exco yang mengangkat sumpah hari ini ialah 4 Adun Umno, iaitu Samsolbari Jamali (Semarang), Ayub Jamil (Rengit), Zaiton Ismail (Sungai Balang) dan Onn Hafiz Ghazi (Layang-Layang) dan Adun MIC R Vidyananthan (Kahang).
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Turut mengangkat sumpah, 4 Adun PPBM iaitu Mazlan Bujang (Puteri Wangsa), Mohd Solihan Badri (Tenang); Tosrin Jarvanthi (Bukit Permai) dan Mohd Izhar Ahmad (Larkin) serta Adun Bebas, Dr Chong Fat Full (Pemanis).