Idrus pilihan tepat kerana serba boleh, kata bekas hakim, Majlis Peguam

Idrus Harun.

PETALING JAYA: Hakim Mahkamah Persekutuan, Idrus Harun ialah pilihan tepat untuk jawatan peguam negara kerana beliau serba boleh, kata bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram.

Beliau berkata, Idrus pernah memegang pelbagai jawatan ketika dalam badan perundangan dan kehakiman.

“Beliau akan mengekalkan kredibiliti dan integriti Jabatan Peguam Negara,” kata Sri Ram.

Beliau berkata, Idrus ialah orang yang jujur dan bebas dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

“Beliau serba boleh kerana pernah menjadi pendakwa raya dan penasihat undang-undang.”

Sri Ram berkata, beliau sudah menyatakan ciri-ciri Idrus 2 tahun lalu dalam wawancara dengan sebuah stesen radio apabila kerajaan Pakatan Harapan mencari calon peguam negara selepas ia berkuasa.

Beliau yakin Idrus akan membawa “knowledge base” kepada Jabatan Peguam Negara.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam, Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata, Idrus membawa bersama pendedahan dan pengalaman luasnya, termasuk ketika beliau menjadi hakim.

Katanya, ia akan membantu tugasnya sebagai peguam negara.

“Majlis Peguam percaya beliau mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan cekap dan berkesan untuk menegakkan undang-undang tanpa rasa takut atau berat sebelah.”

Katanya, Majlis Peguam sebagai pihak berkepentingan utama dalam pentadbiran kehakiman sedia bekerjasama dengan Idrus dalam perkara membabitkan kepentingan bersama.