Ketua PPBM Selangor nafi tak dapat dihubungi ketika krisis

Abdul Rashid Asari berkata, beliau pada awalnya dijadualkan ke Jerman, tetapi membatalkan lawatan itu kerana ingin menumpukan perhatian kepada parti ketika krisis politik berlaku minggu lalu. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Ketua PPBM Selangor, Abdul Rashid Asari berkata, beliau berada di dalam negara sepanjang kemelut politik selama seminggu.

Sambil menafikan beliau tidak dapat dihubungi sepanjang tempoh itu, Rashid berkata, pada awalnya beliau dijadualkan ke Jerman, tetapi membatalkannya kerana ingin menumpukan perhatian kepada parti.

“Sepanjang tempoh itu juga saya saling berkomunikasi dengan pemimpin akar umbi bagi menerangkan situasi politik yang terjadi,” kata bekas exco kebudayaan dan pelancongan, peradaban Melayu dan warisan Selangor itu pada sidang akhbar hari ini.

Semalam, Menteri Besar, Amirudin Shari pada sidang akhbar berkata, kerajaan Selangor menyingkirkan PPBM daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH) selepas mengambil kira penjajaran semula politik negara yang berlaku di peringkat pusat.

Katanya, kedudukan kerusi semua Adun daripada PPBM dan 2 Adun bebas akan diubah ke posisi blok pembangkang pada sidang Dewan Undangan Negeri yang akan bermula 16 Mac ini.

Susulan itu, 4 Adun PPBM – Sallehudin Amiruddin (Kuang), Harumaini Omar (Batang Kali), Mohd Shaid Rosli (Jeram) dan Adhif Syan Abdullah (Dengkil) – mengumumkan mereka menyokong PH selepas menemui pemimpin PPBM, Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya semalam.

Rashid berkata, mereka mungkin keliru dengan perkembangan politik di peringkat persekutuan dan mungkin tidak memahami isu sebenar.

Beliau bersedia menemui semua Adun bagi menerangkan situasi sebenar yang membawa kepada pelantikan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ke-8.

“Saya hanya mendengar hasrat mereka untuk menyokong kerajaan PH Selangor di media cetak dan media elektronik saja dan saya bersedia untuk berjumpa mereka pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengadakan perjumpaan dengan semua ketua bahagian PPBM Selangor selepas pemilihan peringkat bahagian pada 29 Mac ini.

Mengenai keputusan kerajaan Selangor menyingkirkan PPBM daripada pentadbiran kerajaan negeri, Rashid berkata pihaknya menghormati keputusan itu.