Khalid dedah minta Muhyiddin khianati kerajaan baru

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad.

PETALING JAYA: Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad mendedahkan beliau meminta Muhyiddin Yassin mengkhianati kerajaan baru, seminggu selepas beliau dilantik sebagai perdana menteri selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau berkata permintaan itu dibuat menerusi pesanan WhatsApp.

“Saya sebenarnya ada WhatsApp kepada Muhyiddin… saya kata Tan Sri, Tan Sri dah khianat Pakatan Harapan, sekarang ini Tan Sri khianat pula Perikatan Nasional, baru adil.

“Tan Sri bawa balik PPBM masuk Pakatan Harapan, penuhi janji,” katanya pada satu ceramah.

Pada 1 Mac, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri berikutan peletakan jawatan Mahathir sebelum itu.

Ini susulan langkah PPBM dan beberapa ahli Parlimen yang diketuai oleh timbalan presiden PKR yang dipecat, Mohamed Azmin Ali, keluar PH bagi membentuk satu kerajaan gabungan baru bersama Barisan Nasional, PAS, dan GPS.

Usaha itu dikatakan bertujuan menyingkirkan DAP daripada kuasa pusat, selain menghalang cita-cita presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Khalid yang juga bekas menteri Wilayah Persekutuan berkata ketika berunding dengan Mahathir, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata parti itu sanggup mengurangkan jumlah menterinya jika Melayu tidak sukakan DAP.

“Dia kata aku sendiri tak jadi MOF (menteri kewangan) pun tak apa, jangan serahkan kerajaan ini balik kepada penyamun-penyamun itu,” katanya.

Beliau juga berkata Muhyiddin ada menghubungi menteri daripada PH untuk menawarkan jawatan menteri dalam kabinet barunya.

“Katanya, dia nak cari orang yang ada intergriti, yang bersih… semua orang tak terima,” katanya.