Lelaki 40an curi rantai Versace guna joran

Lelaki berusia lingkungan 40-an mengambil masa 3 jam dengan menggunakan joran untuk mencuri rantai Versace.

Perbuatan seorang lelaki menggunakan joran untuk mencuri rantai emas di sebuah butik mewah di Australia berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Individu berkenaan turut memecahkan tingkap premis tersebut yang terletak di daerah pusat perniagaan Melbourne sebelum melarikan rantai leher jenama Versace.

Berdasarkan rakaman, seorang lelaki pertengahan umur dan agak botak dilihat menggunakan joran untuk melakukan rompakan berkenaan.

Polis Victoria berkata, lelaki itu mengambil masa hampir 3 jam dengan menggunakan alat pancing untuk mengait patung yang dipakaikan barangan kemas itu

“Selepas cubaan pertama menggunakan joran lebih kecil gagal, dia kemudiannya menggunakan alat pancing ikan lebih besar untuk mengambil barang kemas bernilai RM3,000 yang diperagakan pada sebuah patung.

“Dia sememangnya sangat berani untuk ‘memancing’ seperti itu. Ia adalah perbuatan yang sangat luar biasa. Saya tidak pernah melihat pencuri menggunakan joran untuk melakukan rompakan sebelum ini,” kata jurucakap polis Victoria, Bede Whitty.

Difahamkan, pihak polis giat memburu suspek yang digambarkan sebagai seorang lelaki kulit putih dan berusia dalam lingkungan 40-an dan 50-an.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]