Lelaki mengaku salah hina Agong di Instagram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 2 pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong di media sosial bulan ini.

Shahril Mohd Sarif didakwa di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia kerana memuat naik komen menyinggung perasaan melalui akaun Instagramnya.

Beliau akan berdepan denda maksimum RM50,000 atau setahun penjara, jika sabit kesalahan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Edwin Paramjothy Michael Muniandy menetapkan 12 Mac untuk menjatuhkan hukuman. Shahrul dibenarkan diikat jamin RM8,000 sementara menunggu hukuman diumumkan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal menggesa mahkamah tidak memberi ikat jamin kepada Shahril kerana beliau dipenjarakan 2 bulan untuk kesalahan sama tahun lalu.

“Komen tertuduh mencetuskan kemarahan dan rasa tidak puas hati orang ramai yang menyaksikan siaran langsung istiadat angkat sumpah perdana menteri di Instagram.”

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed dilaporkan berkata, polis membuka 4 kertas siasatan di bawah Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia terhadap beberapa individu yang didakwa menghina Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.