PAS: Gabung bank, tangani masalah kecairan sistem kewangan

Maybank, CIMB Bank dan Public Bank adalah antara bank terbesar negara yang berkembang ke rantau sebelah sini.

PETALING JAYA: PAS hari ini menggesa supaya bank digabungkan berikutan kekurangan kecairan yang berlaku dalam sistem kewangan kini.

Dalam satu kenyataan, timbalan pengerusi Lujnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan parti itu Mazli Noor berkata, penggabungan meluas dalam industri perbankan hendaklah ditimbangkan segera susulan pengurangan terbaru Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.5%, yang merupakan kadar terendah dalam tempoh 10 tahun.

“Penganalisis umumnya menjangkakan kesan besar ke atas pendapatan sektor perbankan dan margin faedah bersih, dengan Normura Asset Management Malaysia misalnya menjangkakan pengecutan margin faedah bersih antara 2-3%, sekali gus mengurangkan pendapatan antara 1-2%,” katanya.

Beliau berkata, walaupun peminjam akan mendapat manfaat daripada OPR lebih rendah, namun bank akan berdepan kesukaran untuk menarik deposit baru dan memperbaiki kedudukan kewangan mereka.

Penggabungan meluas akan menyaksikan entiti yang digabungkan mencapai skala ekonomi, menstabilkan industri dan melindungi pengguna, katanya.

Entiti yang digabungkan juga boleh meningkatkan keupayaan mereka untuk bersaing di dalam dan juga luar negara,” kata beliau.

“Kerajaan persekutuan hendaklah membantu memudahkan perbincangan perlu antara bank, baik dari segi memadankan pihak-pihak yang berkaitan, maupun menyediakan insensif sesuai.”

Beliau berkata, dalam jangka panjang penggabungan sedemikian akan menyaksikan rasioanlisasi kos dalam industri, selain mengurangkan risiko berkaitan pinjaman tidak berbayar.

Katanya, penggabungan itu boleh diperluaskan ke rantau sebelah sini seperti yang dilakukan oleh Maybank, CIMB Bank dan Public Bank sebelum ini.

“Pasaran serantau yang lebih luas umumnya akan membolehkan penyesuaian lebih cekap dibuat ke atas aliran pendapatan yang lebih pelbagai dan memperbaiki pemulihan aliran tunai.”

Katanya langkah yang diambil harus bermula dengan taksiran baru mengenai kemampuan industri untuk bersaing dalam persekitaran global yang semakin mencabar.