Perjanjian perniagaan mega tergantung kerana kerajaan berubah, kata laporan

Kerajaan PH merancang untuk mengambil alih 4 lebuh raya antara bandar milik Gamuda Bhd bernilai RM6.2 bilion.

PETALING JAYA: Nasib beberapa cadangan ambil alih bernilai beberapa billion ringgit oleh kerajaan dan penggabungan korporat melibatkan syarikat berkaitan kerajaan kini tergantung susulan perubahan kerajaan, lapor Straits Times Singapura.

Dalam laporan hari ini, akhbar itu berkata, ketidaktentuan yang kini dihadapi sektor korporat Malaysia “menampakkan hubungan rapat yang wujud antara perniagaan dan politik” di negara ini.

Ia berkata, menurut penganalisis dan eksekutif kewangan yang maklum mengenai perkara itu, “korban pasti” keadaan itu ialah rancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil alih 4 lebuh raya tol antara bandar yang dimiliki oleh Gamuda Bhd bernilai RM6.2 bilion.

“Rancangan ambil alih aset tol tersebut, yang secara agresif dicadangkan oleh bekas menteri kewangan Lim Guan Eng, bukan sahaja dibantah oleh parti pembangkang yang kini membentuk kerajaan, tetapi juga oleh beberapa anggota gabungan PH,” katanya.

Lim, yang mengetuai DAP, yang memimpin negeri Pulau Pinang, di mana Gamuda mengepalai rancangan pembangunan kontroversi, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM46 bilion.

Rancangan itu merangkumi pembinaan 3 pulau buatan, sebuah terowong bawah laut, lebuh raya seluruh Pulau Pinang dan rangkaian kereta api aliran ringan.

“ Pengkritik telah sekian lama mendakwa pengambilalihan konsesi lebuh raya itu bertujuan untuk menambah dana bagi pembinaan rangkaian pengangkutan tersebut,” kata laporan itu, dengan menambah bahawa rancangan pengambilalihan berkenaan juga berdepan sekatan kawal selia.

Perjanjian lain yang mungkin dibatalkan, termasuklah cadangan penggabungan syarikat gergasi hartanah, UEM Sunrise, yang dimiliki oleh syarikat pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dengan Eco World Development Group yang banyak hutang dan dikatakan dikawal oleh ahli perniagaan Syed Mokhtar Albukhary.

Satu lagi rancangan penggabungan membabitkan syarikat peladangan milik Syed Mokhtar Tradewinds dengan FGV Holdings, yang dikuasai oleh kerajaan melalui Felda Holdings.

“Pegawai kerajaan berkata, Syed Mokhtar melobi (bekas perdana menteri) Dr Mahathir Mohamad beberapa bulan sebelum ini supaya meluluskan rancangan tersebut.

Susulan pertukaran kerajaan minggu lepas, pegawai awam berkata, lembaga pengarah Khazanah dan Felda setakat ini bebas daripada campur tangan politik,” katanya.