PKR Pulau Pinang kemuka hanya satu nama ganti exco letak jawatan

Rabu lepas, Dr Afif Bahardin yang juga Adun Seberang Jaya mengumumkan peletakan jawatan sebagai exco Pulau Pinang.

GEORGE TOWN: PKR Pulau Pinang akan mengemukakan satu nama untuk mengisi kekosongan jawatan exco Pulau Pinang yang sebelum ini disandang Dr Afif Bahardin.

Pemangku pengerusi PKR Pulau Pinang Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, pihaknya sudah berbincang dengan pimpinan pusat dan Ketua Menteri Chow Kon Yeow berhubung kekosongan jawatan pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan Pulau Pinang itu.

“Hanya seorang saja nama calon akan diberikan oleh PKR untuk mengisi kekosongan jawatan exco itu. Kita tunggu ketua menteri buat pengumuman berhubung perkara ini, ” katanya kepada ketika ditanya berhubung perkembangan perkara berkenaan di sini, hari ini.

Rabu lepas, Afif yang juga Adun Seberang Jaya mengumumkan peletakan jawatannya sebagai exco Pulau Pinang.

Semalam, Chow menegaskan kekosongan bagi jawatan exco itu hanya akan diisi oleh calon daripada PKR berdasar status quo dan tidak akan menerima cadangan pencalonan daripada parti lain.