PPBM terdedah kepada ambil alih oleh Umno walaupun berkuasa

Pengasas PPBM Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad berbeza pandangan mengenai komposisi kerajaan gabungan baru berikutan tumbangnya kerajaan PH.

PETALING JAYA: Perselisihan antara Dr Mahathir Mohamad dengan Muhyiddin Yassin susulan pelantikan presiden PPBM itu sebagai perdana menteri minggu lepas mungkin membawa kepada berakhirnya parti yang mereka tubuhkan setelah keluar Umno pada 2016, kata sumber.

Mereka berkata, hanya segelintir ahli Parlimen kekal bersama Mahathir dengan tidak menyertai blok Muhyiddin yang membawa kepada pembentukan Perikatan Nasional dengan sokongan Barisan Nasional (BN), PAS dan GPS, iaitu satu “selisih besar” yang kini mengancam untuk memusnahkan PPBM.

“Masih terdapat anggota Majlis Tertinggi yang tidak bersetuju dengan keputusan untuk meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan bekerjasama dengan (bekas) pembangkang,” kata sumber kepada FMT.

Pada 1 Mac, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri selepas seminggu tanpa kerajaan di Putrajaya berikutan peletakan jawatan Mahathir sebelum itu.

Ini susulan langkah PPBM dan beberapa ahli Parlimen yang diketuai oleh timbalan presiden PKR yang dipecat, Mohamed Azmin Ali, keluar PH bagi membentuk satu kerajaan gabungan baru dalam usaha yang dikatakan bertujuan menyingkirkan DAP daripada kuasa pusat, selain menghalang cita-cita presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Mahathir pada mulanya mencadangkan penubuhan sebuah kerajaan perpaduan, tetapi kemudian kembali kepada PKR, DAP dan Amanah yang mencalonkan semula beliau sebagai pemimpin kerajaan PH yang dihidupkan semula.

Gabungan itu bagaimanapun gagal meyakinkan Yang di-Pertuan Agong bahawa mereka mendapat cukup sokongan daripada majoriti ahli Parlimen.

Sejak itu Mahathir mendakwa Muhyiddin mengkhianati beliau kerana bersetuju menerima ahli Parlimen Umno secara pukal.

Sumber parti berkata, wujud kebimbangan mengenai “pengambilalihan” PPBM oleh Umno.

Mereka menyebut tentang kewujudan kelompok “pro-Umno” dalam PPBM, yang tidak mahu parti itu mengetuai mana-mana kerajaan negeri.

Berikutan tumbangnya kerajaan pusat yang dipimpin oleh PH, Umno berjaya kembali berkuasa di kubu kuatnya di Johor apabila pengerusi Umno negeri itu Hasni Mohammad dilantik sebagai menteri besar menggantikan pemimpin PPBM.

Sumber memberitahu FMT bahawa tumbangnya PPBM di Johor adalah satu daripada banyak “konsesi” yang dibuat oleh PPBM.

“Dalam beberapa hari ini kita menyaksikan hidangan makanan percuma yang ditawarkan oleh PPBM,” katanya.

Ia berkata, wujud kebimbangan bahawa Perikatan Nasional akan lebih menguntungkan Umno sebagai parti yang mempunyai paling banyak kerusi dalam gabungan itu.

Dalam pada itu, kebanyakan pemimpin PPBM berdiam diri berikutan krisis yang berlaku.

“Tetapi ahli akar umbi marah. Tiada hala tuju jelas,” kata sumber sama kepada FMT.

Namun, Muhyiddin, yang kini mengetuai kerajaan, tidak kelihatan akan berpatah balik.

Beliau sudah mengambil langkah untuk memperkuatkan kedudukannya dengan menangguhkan sidang Dewan Rakyat bagi menghindari percubaan rampasan kuasa oleh PH di Parlimen.

Seorang pemimpin yang setia kepada Mahathir berkata, PPBM “merosakkan diri sendiri” dengan “tergesa-gesa” bekerjasama dengan Umno.

“Kita mendedahkan parti kepada pengambilalihan menyeluruh oleh Umno.”