Saya tak tahu RM366,000 dibayar pada firma guaman, kata saksi perbicaraan Zahid

Ahmad Zahid Hamidi berdepan 47 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi, pengubahan wang dan menerima rasuah untuk pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau tidak tahu ceknya yang dibayar kepada firma guaman yang terbabit dalam perbicaraan rasuah bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Pesara Rajan Thurairatnam berkata, beliau mengeluarkan 5 cek berjumlah RM366,000 daripada akaun banknya yang hendak ditunaikannya.

“Saya mahu tunaikan cek itu supaya saya boleh menukarnya kepada dolar Australia. Wang itu untuk diberikan kepada anak perempuan saya bagi membeli sebuah rumah di Australia.

“Saya menyerahkan cek itu kepada seorang lelaki bernama Omar,” katanya sambil menambah Omar menerima ceknya bagi pihak pengurup wang.

Rajan Thurairatnam.

Rajan berkata, beliau hanya mengisi jumlah dalam 5 cek itu bersama tarikh dan tandatangan tanpa menulis nama penerima.

Cek itu dikeluarkan pada 15 Jun 2016 dengan jumlah antara RM65,000 dan RM83,000.

Pihak pendakwaan berhujah Zahid menerima RM65 juta daripada individu dikenali dan tidak dikenalinya. Wang dalam bentuk cek itu didakwa dihantar dan dimasukkan ke akaun pelanggan Lewis & Co.

“Apabila bank telefon beberapa minggu kemudian (dari tarikh cek dikeluarkan) untuk kelulusan, saya hanya tahu pada masa itu ia adalah Lewis & Co.

“Tiada. Saya hanya kata ya,” kata Rajan apabila ditanya Timbalan Pendakwa Rayat Harris Ong mengenai reaksinya apabila tahu cek itu dibayar kepada Lewis and Co.

Selain cek itu, katanya, beliau tiada kaitan dengan firma guaman itu. Katanya, beliau tidak mengenali Zahid secara peribadi lebih daripada apa yang dibaca dalam akhbar.

Timbalan Pengurus Cawangan Maybank Wisma FGV, Syahrul Ridzwan Nawawi ketika memberi keterangan berkata, Rajan ialah pelanggan bank itu dan beliau mengeluarkan 5 cek pada 15 Julai 2016.

Katanya, cek itu dibayar kepada akaun pelanggan Lewis & Co.

Timbalan Pengurus Perkhidmatan Pelanggan Cawangan CIMB Menara Binjai, Sharifah Aspaniza Syed Mustapha, memberitahu mahkamah seorang pelanggan bank, Ekares Sdn Bhd, mengeluarkan 16 cek berjumlah RM4.56 juta kepada Lewis & Co antara 21 April 2016 hingga 30 Jun 2016.

Timbalan Pengurus Cawangan Maybank Taman Sri Gombak, Azman Mat Nor @ Mohd Nor memberitahu mahkamah, pelanggan bernama Mubarak Hussain Akhtar Husin membayar RM2 juta kepada Lewis & Co melalui sekeping cek bertarikh 25 Nov 2016.

Perbicaraan diteruskan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah pada 23 Mac ini.

Zahid berdepan 47 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi, pengubahan wang dan menerima rasuah untuk pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.