
KOTA KINABALU: Sebuah sekolah menengah di Kota Belud membatalkan caj 20 sen kepada pelajar untuk ke tandas selepas kontroversi tercetus apabila surat memaklumkan ibu bapa berhubung dasar baru itu tersebar di media sosial.
Pengarah Pendidikan Sabah, Mistrine Radin mengesahkan surat yang dikeluarkan pengetua SMK Narinang pada 2 Mac lalu itu dikongsi secara meluas di WhatsApp.
“Saya difahamkan cadangan mengenakan caj menggunakan tandas dibuat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu untuk membanteras vandalisme dan menjaga kebersihan.
“Selepas ditegur saya dan pegawai pendidikan Kota Belud, pengetua itu memutuskan untuk membatalkan surat terbabit.
“Susulan ini, kami mempertimbangkan perkara ini selesai,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Dalam surat itu, pengetua terbabit memaklumkan ibu bapa dan penjaga yang pelajar akan dikenakan bayaran 20 sen setiap kali ke tandas mulai Ahad ini.
Mistrine berkata, sekolah disediakan perkhidmatan pembersihan umum dan kontraktor yang dilantik antara lain bertanggungjawab membersihkan tandas.
“Pengetua perlu menjelaskan kepada PIBG yang kontraktor boleh membantu membaiki kemudahan tandas yang rosak, tetapi tanggungjawab akhir berbuat demikian terletak pada sekolah.
“Pada masa sama, sekolah perlu memupuk budaya penggunaan kemudahan dan penjagaan kebersihan umum lebih baik – ini sebahagian proses pengajaran kepada pelajar.
“Jika kita tidak mendidik mereka, kemudahan yang dibaiki akhirnya akan rosak semula.”