Selepas letak jawatan, Latheefa yakin urusan SPRM ‘berjalan seperti biasa’

KP SPRM Latheefa Koya.

KUALA LUMPUR: Latheefa Koya meletak jawatan sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pegawai kanan kedua yang dilantik di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, susulan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.

Keputusan itu disampaikan dalam surat kepada Muhyiddin Yassin pada 2 Mac – hanya sehari selepas beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-8 diikuti dengan pertemuannya dengan Muhyiddin semalam.

“Urusan seperti biasa di SPRM, di tangan pegawai saya yang berkebolehan,” katanya.

Beliau menolak spekulasi tidak berasas bahawa peletakan jawatannya disebabkan oleh tekanan.

“Ia adalah keputusan saya sendiri untuk berbuat demikian,” katanya sambil menambah peletakan jawatannya tertakluk kepada persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

Peguam berusia 47 tahun itu juga berkata beliau merancang untuk kembali bertugas sebagai peguam hak asasi manusia.

Menyifatkan pertemuannya dengan Muhyiddin sebagai mesra, Latheefa berkata beliau “memahami kedudukan saya”.

“Saya juga memberi taklimat kepada perdana menteri mengenai tindakan dan usaha kami yang sedang berjalan untuk mendapatkan semula wang 1MDB yang dicuri dari luar negara. Beliau menyokong sepenuhnya tindakan ini,” katanya.

“Saya juga mengambil peluang memberi ucapan kepada beliau dan kerajaan baru agar berjaya dalam memajukan kebajikan dan kepentingan rakyat.”

Peletakan jawatannya hampir seminggu selepas Tommy Thomas meletak jawatan sebagai peguam negara. Thomas kemudian memberitahu FMT bahawa beliau melepaskan jawatan itu kerana beliau dilantik oleh Mahathir.

“Ia juga penting bagi saya untuk mengetepikan dan membenarkan perdana menteri baru melantik peguam negaranya sendiri,” katanya.

Latheefa, yang aktif dengan PKR sebelum pilihan raya umum 2018, dinamakan untuk mengetuai SPRM pada 4 Jun tahun lalu bagi menggantikan Mohd Shukri Abdull, menjadi orang pertama di luar perkhidmatan awam untuk mengetuai agensi anti-rasuah itu.

Pelantikannya mendapat respon bercampur, dengan sesetengah mengkritiknya sebagai pelantikan politik tanpa melalui Parlimen.

Tempoh perkhidmatannya selama 9 bulan menyaksikan SPRM mengejar mereka yang menerima dana yang dikaitkan dengan 1MDB, dengan berpuluh-puluh individu dan entiti didakwa dengan pertuduhan pelucuthakan bagi mengembalikan wang tersebut.

Pada 8 Jan lalu, SPRM mendedahkan 9 rakaman audio yang menampilkan bekas perdana menteri Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad serta Putera Mahkota UAE, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan, dalam perbincangan berkaitan 1MDB dan SRC International. Polis sejak itu melancarkan siasatan berhubung kandungan perbualan tersebut.

Latheefa berkata beliau yakin SPRM akan “terus tidak berkompromi dan tidak lelah dalam memerangi rasuah, tanpa mengira kedudukan atau kesetiaan politik para pelakunya”.

“Saya berterima kasih kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir, rakan-rakan saya di SPRM dan rakyat atas segala sokongan yang saya terima semasa saya menjadi ketua pesuruhjaya.”