Shafie berhati-hati apabila umum sokong Dr M dan Putrajaya, kata penganalisis

Ketua Menteri Shafie Apdal (duduk, tengah) bersama wakil rakyat Sabah di Kota Kinabalu semalam.

KOTA KINABALU: Mengumumkan Sabah terus menyokong Dr Mahathir Mohamad dan pada masa sama sedia bekerjasama dengan pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menunjukkan Ketua Menteri Shafie Apdal berhati-hati.

Timbalan Dekan Universiti Malaysia Sarawak, Arnold Puyok berkata presiden Warisan itu mengambil langkah yang terhitung dan berwaspada.

“Saya fikir Muhyiddin tidak tutup pintu dengan Warisan sepenuhnya. Memandangkan ketidakpastian politik di peringkat persekutuan, dengan menyokong Mahathir, Warisan biarkan pilihannya terbuka.

“Kerajaan persekutuan atau gabungan baru itu nampak lemah pada ketika ini. Jadi, saya tak fikir Muhyiddin akan sanggup bertembung dengan mana-mana pihak yang berpotensi jadi sekutu,” katanya kepada FMT.

Arnold Puyok

Sekiranya dana persekutuan atau bantuan tiba-tiba dikurangkan atau terhenti, beliau berkata ini akan memburukkan imej kerajaan persekutuan atau perdana menteri kerana ia akan dilihat sebagai satu bentuk tindakan balas terhadap Sabah.

Shafie semalam berkata Sabah akan mengekalkan hubungan kerajaan-kerajaan dengan pentadbiran persekutuan bagi memastikan Sabah dan rakyat terus mendapat manfaat pembangunan dan perkara lain seperti kesihatan, pendidikan, dan keselamatan.

Beliau bagaimanapun menegaskan kerajaan negeri, yang dibentuk oleh Warisan, PKR, DAP, dan Upko, menyokong Mahathir.

Lee Kuok Tiung.

Pensyarah kanan Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah bersetuju keutamaan Muhyiddin sekarang memastikan membetulkan kerajaan, dan menambah beliau belum ada Kabinet sekarang ini.

“Kita tidak akan lihat banyak perkembangan pada masa ini kerana Muhyiddin perlu selesaikan Kabinet persekutuan dulu.

“Muhyiddin perlu melantik ahli Kabinet dan, di samping itu, antara cabaran terdekat adalah bersiap sedia menghadapi kemungkinan undi tidak percaya terhadapnya apabila Dewan Rakyat bersidang pada 18 Mei,” katanya.

Sementara itu, Tony Paridi Bagang dari UiTM Sabah percaya pendirian Shafie tegas dan berani berdasarkan prinsip.

Tony Paridi Bagang

Ini bagaimanapun akan menguji hubungan persekutuan-negeri, adakah kedua-dua pihak boleh ketepikan perbezaan politik demi rakyat.

“Tiada masalah jadi negeri pembangkang, selagi mereka boleh menyampaikan apa yang rakyat perlukan.

“Warisan mesti konsisten dan berani mendapatkan hak negeri. Namun, mereka juga mesti bersedia hadapi apa sahaja akibatnya nanti,” katanya.